IPOH – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dijangka akan mengemukakan maklumat hasil kajian kepada kerajaan negeri minggu hadapan susulan aduan perubahan warna air Sungai Rui, Gerik yang dipercayai berlaku lagi sejak beberapa hari lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, JMG telah turun ke lokasi tersebut selama dua hari bagi menjalankan pemeriksaan dan kajian berhubung perkara itu.
Menurutnya, perubahan warna air boleh berlaku disebabkan oleh sebatian mineral tertentu, namun perkara utama ialah tahap keselamatan air tersebut.
“Bila datang lagi aduan ini, kita minta orang ramai pertama, jangan membuat kekecohan dan menyebabkan orang ramai rasa susah. Ini kerana JMG sudah turun untuk membuat kajian dan mereka akan memaklumkan kepada kita (kerajaan negeri).
“Seperti biasa kerajaan negeri telah bagi tahu bahawa yang paling penting ialah apa pun warna air, ia mesti selamat untuk digunakan dan ikan yang hidup itu selamat untuk dimakan. Warna air itu macam-macam boleh bertukar sebab berkaitan sebatian di antara mineral.
“Kalau betul ada arsenik kita kena ambil langkah. Kita pernah tutup dulu bila arsenik telah menjadi masalah,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2026 di perkarangan Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Saarani menasihati orang ramai supaya tidak mengadakan sebarang demonstrasi serta memberi ruang untuk JMG menjalankan kajian bagi memperoleh maklumat tepat susulan kejadian tersebut.
“Minggu depan JMG akan maklumkan kepada kerajaan negeri dan kita akan buat keputusan berhubung perkara itu,“ jelasnya.
Sebelum ini tular di media sosial mendakwa air Sungai Rui bertukar warna menjadi perang dan keruh selepas hujan lebat di hulu sungai tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


