IPOH – Pemaju disaran memperluaskan kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani isu anjing terbiar di kawasan pembangunan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, langkah mengenal pasti serta memandulkan anjing yang berada di tapak pembinaan atau kawasan pembangunan perlu dilakukan lebih awal bagi mengelakkan masalah pembiakan tidak terkawal selepas projek disiapkan.
Menurutnya, penglibatan tersebut adalah sebagai satu bentuk kerjasama yang boleh kita kembangkan kepada lebih ramai pemaju.
“Di sesetengah tapak pembinaan atau kawasan pembangunan, terdapat anjing yang dipelihara atau berada di kawasan tersebut sebagai anjing penjaga.
“Jika haiwan-haiwan ini tidak dimandulkan dan terus membiak, apabila projek selesai dan pekerja meninggalkan tapak, masalah itu boleh akhirnya berpindah daripada tapak pembangunan kepada komuniti sekeliling.
“Sebab itu saya berharap pihak pemaju dapat mengambil langkah lebih awal. Jika terdapat anjing di kawasan projek, ia boleh dikenal pasti, dimandulkan dan diuruskan secara bertanggungjawab sebelum sesuatu pembangunan diserahkan kepada penduduk,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perak Pawsitive Initiative Klinik Haiwan dan Surgeri Tanjung Malim di sini, pada Sabtu.
Pada masa sama, Sandrea turut mengingatkan pemaju bahawa projek yang dilaksanakan bukan sekadar membina bangunan dan menyerahkan kunci tetapi ia secara tidak langsung turut membina sebuah komuniti.
“Apabila sesuatu kawasan diserahkan kepada penduduk, tentunya kita mahu persekitarannya bersih, selamat dan selesa untuk didiami.
“Saya berharap bentuk kerjasama yang ditunjukkan oleh pemaju pada program hari ini (semalam) dapat diperluaskan dan disertai lebih ramai pemaju pada masa hadapan,“ ujarnya
Menurutnya, isu haiwan terbiar tidak boleh diselesaikan melalui satu pendekatan sahaja dan sebab itu program Perak Pawsitive Initiative dibina sebagai satu usaha jangka panjang.
“Kerajaan negeri menyediakan hala tuju dan sokongan, PBT melaksanakan tindakan di peringkat tempatan, NGO dan doktor veterinar membawa kepakaran dan pendidikan.
“Sektor swasta pula boleh membantu melalui sumber dan tanggungjawab masing-masing, manakala pemilik haiwan sendiri memainkan peranan yang paling penting.
“Kejayaan sebenar bukan sekadar pada jumlah program atau haiwan yang dimandulkan, tetapi apabila semakin kurang haiwan terbiar, semakin kurang aduan dan semakin ramai masyarakat memahami tanggungjawab sebagai pemilik haiwan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Perak Pawsitive Initiative’ akan diperluas, tumpu kawasan kurang akses veterinar


