IPOH – Seramai 155 mangsa banjir dan ribut di negeri Perak masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), setakat jam 12 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak menerusi kenyataan berkata, seramai 55 mangsa ribut yang terdiri daripada 20 keluarga berlindung di PPS di Sekolah Kebangsaan Matang.
Katanya, kesemua mereka dari empat kawasan terjejas bencana ribut iaitu Kampung Changkat Baru Matang, Kampung Teluk Kertam, Kampung Melawati dan Kampung Hujung Matang.
“Seramai 100 individu daripada 29 keluarga yang terjejas banjir ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor yang mula dibuka pada Sabtu.
“Kesemua mangsa terlibat dari Kampung Matang Pasir dan Kampung Matang Gelugor,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurut beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) memaklumkan tiada sebarang amaran hujan berterusan dikeluarkan, namun ribut dijangka berlaku di LMS pada sebelah petang dan cuaca baik pada sebelah malam.
“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), stesen Sungai Slim di Slim River di daerah Muallim merekodkan bacaan waspada iaitu 24.97 meter berbanding paras normal 23.50 meter,” katanya lagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


