TANJUNG MALIM – Seramai 300 masyarakat India dari golongan kurang berkemampuan di daerah Muallim menerima bantuan kotak makanan menerusi program Sentuhan Kasih, Jalinan Budi Komuniti sempena sambutan Deepavali pada bulan depan.
Pengerusi bersama program, Datuk Mohd Zaidi Aziz berkata, program anjuran Pejabat Daerah Muallim dengan kerjasama Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) bertujuan menyantuni masyarakat India, khususnya golongan memerlukan, selain mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dengan rakyat berbilang kaum.
Menurutnya, idea menganjurkan program berskala besar itu tercetus susulan cadangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Ketujuh Tahun 2026 di Dewan Seri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim, dekat sini.
“Program hari ini kita rancang bersama dengan Pejabat Daerah Muallim, untuk kita meraikan masyarakat India seramai 300 orang untuk mereka menyambut perayaan Deepavali yang bakal tiba.

Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
“Kita minta bantuan ini daripada YBUDR untuk disalurkan kepada penerima yang terdiri dipilih daripada senarai eKasih daerah Muallim termasuk golongan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Sentuhan Kasih, Jalinan Budi Komuniti Muallim bersama Menteri Besar Perak di Dewan Tan Sri Haji Ghazali Jawi, Bandar Baru Slim River di sini, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, setiap kotak makanan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, susu dan gula, selain tepung muruku bagi membantu penerima membuat juadah sempena Deepavali.
Bagaimanapun, beliau berkata, nilai setiap kotak makanan tidak dapat dipastikan kerana urusan berkenaan dikendalikan oleh pihak YBUDR.

Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
“Bantuan seumpama itu bukan perkara baharu, sebaliknya dilaksanakan setiap tahun menjelang sambutan Deepavali, namun sebelum ini diadakan secara sederhana berikutan kekangan peruntukan.
“Kalau sebelum ini saya buat dalam skala yang kecil memandangkan bajet terhad melibatkan antara 50 ke 100 orang penerima sahaja.
“Pada kali ini disebabkan kita buat di peringkat daerah, kita mohon pada YBUDR dan permohonan diluluskan, jadi kita buat dalam skala besar,” jelasnya.
Katanya, inisiatif menyampaikan bantuan makanan turut diteruskan kepada masyarakat berbilang kaum lain sempena perayaan masing-masing, termasuk Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Tambahnya, masyarakat Orang Asli yang meraikan sambutan tahun baharu mengikut tradisi mereka turut menerima bantuan sama, manakala bantuan kepada masyarakat Kristian sempena Krismas dilaksanakan dalam skala lebih kecil berikutan jumlah komuniti berkenaan yang tidak ramai di daerah itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berkenan berangkat ke majlis sambutan Deepavali Perak


