KAMPAR – Seorang wanita berusia 34 tahun mengalami kerugian hampir RM130,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan berkaitan tempahan hotel secara dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Isnin.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah tertarik dengan iklan tawaran kerja sambilan yang dilihat menerusi media sosial ketika berada di rumah.
“Mangsa telah meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi oleh pihak yang menawarkan pekerjaan tersebut sebelum menerima mesej daripada individu yang tidak dikenali.
“Selepas ditawarkan pekerjaan berkenaan, mangsa kemudiannya diberikan satu pautan dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang kononnya menjalankan urusan tempahan hotel secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohamad Nazri berkata, wanita itu kemudian telah diarahkan untuk membuat bayaran bagi setiap tempahan hotel ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek.
Kata beliau, mangsa dijanjikan dengan wang modal yang akan dipulangkan bersama komisen antara 10 hingga 20 peratus yang semakin meningkat mengikut jumlah transaksi.
“Disebabkan terpedaya dengan tawaran dan janji keuntungan tersebut, mangsa telah melakukan beberapa transaksi pindahan wang ke lapan akaun yang diberikan sehingga mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM129,975.54.
“Mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu apabila wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak diterima selepas pembayaran dibuat,” ujarnya.
Beliau berkata, susulan itu pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mohamad Nazri menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan komisen lumayan, terutama yang memerlukan pembayaran pendahuluan menggunakan wang sendiri. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Wanita warga emas ditipu, serah barang kemas demi bantuan RM2,000


