Pekebun sawit terjejas serangan gajah liar boleh mohon BKHT – Exco

SUNGAI SIPUT – Pekebun kelapa sawit di Rancangan Tanah Belia Khas (RTBK) Kampung Perlop 1, di sini, yang berdepan kemusnahan tanaman akibat ancaman gajah liar boleh mendapatkan bantuan ihsan menerusi Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT).

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, bantuan menerusi penyelarasan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu bagi membantu pekebun dan penternak yang terjejas akibat serangan hidupan liar.

Menurutnya, bantuan berkenaan bukan berbentuk ganti rugi, sebaliknya bantuan ihsan bagi meringankan beban pemilik ladang kelapa sawit, dusun serta penternak yang mengalami kerugian akibat serangan haiwan liar.

“Perhilitan mempunyai mekanisme penilaian tersendiri dengan kerjasama jabatan dan agensi berkaitan sebelum bantuan ihsan disalurkan kepada pemilik tanah atau ternakan yang terjejas.

“Pertama, pemilik ataupun kawasan pemilik yang terlibat dengan kemusnahan ladang, mereka perlu buat laporan polis. Yang kedua, mesti buat laporan kepada Perhilitan.

“Selepas itu Perhilitan akan mengambil tindakan untuk bersama jabatan dan agensi berkaitan untuk buat penilaian laporan terhadap kemusnahan ladang tersebut sebelum diserah kembali kepada Perhilitan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk Kampung Perlop 1, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perhilitan Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin.

Pekebun sawit terjejas serangan gajah liar boleh mohon BKHT - Exco
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun pada sidang media berkenaan isu ganguan gajah liar yang merosakkan tanaman dan mengganggu penduduk di Kampung Perlop 1, Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OKTOBER 2026.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata, selain bantuan ihsan, katanya, Perhilitan turut menyediakan bantuan pemasangan pagar elektrik bagi membantu pemilik ladang kelapa sawit, dusun dan penternak mengawal pergerakan hidupan liar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang berkata, pemilik tanah yang menerima bantuan berkenaan perlu memastikan pagar elektrik diselenggara dan dijaga dengan baik mengikut ketetapan program.

Mengulas kebimbangan penduduk, Mohd Zolkafly menasihatkan masyarakat di Perlop 1 supaya bertenang dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga ketika berdepan ancaman haiwan liar.

“Kita berharap supaya mereka dapat bersabar, bertenang, dan apa yang lebih penting ialah kita menjaga keselamatan nyawa keluarga kita terlebih dahulu.

Katanya, Perhilitan sentiasa memantau pergerakan hidupan liar, termasuk gajah dan harimau, menerusi laporan penduduk serta jadual lawatan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berharap kekerapan pemantauan di kawasan berkenaan dapat dipertingkatkan bagi membolehkan pergerakan gajah dan harimau dikesan serta tindakan sewajarnya diambil bagi mengurangkan risiko kepada penduduk dan tanaman mereka.

Sebelum ini, kawasan tersebut dilaporkan telah diserang gajah liar pada 10 dan 16 Oktober lalu memusnahkan tanaman kelapa sawit milik 25 pemilik ladang atau tanah, dengan anggaran keluasan kawasan tanaman terjejas mencecah 101 hektar melibatkan pelbagai jenis tanaman. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pekebun di Chemor resah, gajah liar ceroboh kebun tiga kali

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI