Translokasi gajah liar di Sungai Siput sukar berikutan muka bumi mencabar

SUNGAI SIPUT – Usaha memindahkan gajah liar yang mengancam tanaman kelapa sawit pekebun di Rancangan Tanah Belia Khas (RTBK) Kampung Perlop 1, di sini, berdepan kesukaran berikutan keadaan muka bumi yang berbukit-bukau serta kekangan akses bagi kenderaan untuk menjalankan operasi penangkapan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, pihaknya berdepan kekangan untuk melaksanakan translokasi berikutan ketiadaan kawasan bersesuaian di negeri itu bagi menempatkan gajah yang ditangkap.

“Buat masa sekarang kawasan translokasi gajah di Perak ini tak ada tempat yang sesuailah untuk kita lepaskan. Gajah perlu kawasan yang besar lebih kurang dalam 100 kilometer persegi.

“Kita terpaksa bawa tempat lain yang luar daripada Perak untuk dilepaskan di sana. Sama ada tangkapan di Sungai Siput ataupun di Hulu Perak sekalipun, kita akan hantar ke sana juga,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk Kampung Perlop 1, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan kaedah menangani konflik manusia dan gajah bergantung pada keadaan lokasi haiwan itu dikesan, termasuk kesesuaian bentuk muka bumi untuk membolehkan operasi penangkapan dijalankan.

Translokasi gajah liar di Sungai Siput sukar berikutan muka bumi mencabar
Timbalan Pengarah Perhilitan Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin pada sidang media berkenaan isu ganguan gajah liar yang merosakkan tanaman dan mengganggu penduduk di Kampung Perlop 1, Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OKTOBER 2026.

“Kalau kita dapat tangkap dan keadaan muka bumi tempat tersebut sesuai untuk dimasuki lori, kita akan buat penangkapan. Kalau keadaan susah, berbukit-bukit, lori tak boleh masuk, nak tangkap gajah pun dalam keadaan yang jauh, kita akan buat tembak halau ataupun dron penghalau.

“Kita naik dron, dron tolong halau gajah itu. Macam yang kita buat di Changkat Jawi dalam daerah Kinta. Tembak halau yang pertama. Kalau dah terdesak sangat, kalau boleh kita, tangkap kalau boleh,” ujarnya.

Wan Shaharuddin berkata, penilaian turut dibuat terhadap lokasi gajah berada dan keadaan kawasan sekeliling bagi menentukan kaedah paling sesuai, khususnya jika lokasi penangkapan menyukarkan pergerakan lori.

Beliau turut memaklumkan pihaknya mengenal pasti sekumpulan gajah yang dikenali sebagai kumpulan Gajah Piah, yang dikesan di sekitar Simpang Piah hingga ke Bukit Bangkong.

Katanya, Perhilitan akan membantu semua pekebun yang terjejas akibat gangguan gajah liar, dengan tindakan tembak halau dilaksanakan berdasarkan aduan yang diterima.

Mengulas penggunaan teknologi dalam operasi berkenaan, Wan Shaharuddin berkata, dron membantu anggota Perhilitan memantau pergerakan gajah selepas operasi tembak halau dilakukan, termasuk pada waktu malam.

“Tembak halau dilaksanakan berdasarkan kepada aduan. Orang kampung adu, kita datang. Ada gajah, kita tembak halau. Kemudian kita naikkan dron tengok ke mana gajah itu pergi,“ jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pekebun sawit terjejas serangan gajah liar boleh mohon BKHT – Exco

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI