IPOH – Tiga lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam sembilan kes khianat dengan api dan simbah cat terhadap rumah mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ahlong di beberapa negeri sejak September lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata,ketiga-tiga suspek berusia 19 tahun yang bertindak sebagai orang suruhan ahlong itu ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Pulau Pinang pada Khamis lalu.
Menurutnya, dua daripada mereka merupakan pelajar kolej manakala seorang lagi bekerja sebagai penjaga stor.
“Ketiga-tiga mereka mengaku terbabit dalam kegiatan berkenaan dan menerima upah daripada individu tidak dikenali yang berhubung dengan mereka menerusi aplikasi WhatsApp.
“Kita percaya mereka mula melakukan kegiatan ini sejak bulan lalu dan bergerak bersama-sama untuk melaksanakan perbuatan khianat di beberapa negeri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas tiga telefon bimbit, pakaian yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu, serta tiga kereta, masing-masing Proton X70, Nissan Teana dan Honda City.
“Semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Mereka dipercayai akan mengambil gambar selepas melakukan perbuatan itu sebagai bukti kepada pihak tidak dikenali yang mengupah sebelum bayaran dimasukkan ke dalam akaun masing-masing,” katanya.
Jelas Mohd Alwi, hasil kenyataan daripada suspek didapati kadar upah bagi perbuatan menyimbah cat ialah RM500, manakala tindakan membaling botol mengandungi petrol yang dibakar dibayar RM1,000.
Tambah beliau, polis turut masih mengesan seorang lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu, sedang selain mengenal pasti dalang yang mengupah suspek melakukan perbuatan berkenaan.
“Siasatan lanjut turut dijalankan bagi mengenal pasti cara suspek direkrut, termasuk kemungkinan melalui kumpulan dalam aplikasi komunikasi seperti WhatsApp atau Telegram,” katanya.
Beliau berkata, penahanan itu membantu polis menyelesaikan sembilan kes khianat yang dilaporkan di lima negeri, iaitu tiga kes di Kedah, masing-masing dua kes di Perak dan Johor serta satu kes masing-masing di Pulau Pinang dan Selangor.
Mengulas lanjut Mohd Alwi berkata, kes yang berlaku di Perak dikesan di daerah Taiping masing-masing pada 19 September dan 10 Oktober lalu.
Ujar beliau, dalam kejadian pertama, dua lelaki dipercayai menyimbah cat merah dan membaling botol berisi petrol yang dibakar ke arah sebuah rumah di Taman Pura Jaya, Simpang.
Mohd Alwi berkata, bagi kejadian kedua, dua lelaki dipercayai menyimbah cat merah ke arah sebuah rumah di Taman Sri Larut, Simpang, termasuk rumah jiran mangsa.
“Polis menjalankan siasatan mengikut peruntukan di bawah seksyen 427 kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, serta seksyen 435 kanun keseksaan iaitu kesalahan melakukan khianat menggunakan api atau dengan letupan,” katanya lagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


