TELUK INTAN – Seorang wanita warga emas dikhuatiri lemas di Sungai Perak berhampiran Jeti Kampung Terengganu, di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden yang menimpa mangsa, Heng Heng Kem, 74, sekitar jam 3.54 petang.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lima minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati kejadian dipercayai melibatkan seorang wanita yang dikhuatiri lemas di sungai berkenaan.
“Barangan dipercayai milik mangsa, iaitu sebuah motosikal dan kasut turut ditemui di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Teluk Intan, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan dan Bomba Komuniti.
“Operasi pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dengan bantuan bot, meliputi kawasan sejauh kira-kira dua kilometer dari jeti.
“Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemukan sehingga operasi ditangguhkan pada jam 7.20 malam tadi,“ jelasnya.
Katanya, keputusan menangguhkan operasi dibuat selepas perbincangan bersama pihak polis, dengan mengambil kira faktor keselamatan pasukan penyelamat.
“Operasi pencarian akan disambung semula pada jam 8 pagi esok, dengan bantuan pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anggota bomba sukarela hilang dikhuatiri lemas terjatuh dari bot di Lahat


