BAGAN DATUK – Seorang lelaki mengalami kerugian RM10,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya bagi menguruskan wang jaminan dua rakannya yang ditahan.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, mangsa yang berusia 31 tahun itu telah membuat laporan polis pada Rabu selepas menyedari dirinya ditipu.
Menurutnya, sebelum itu mangsa yang berada di rumahnya di Hutan Melintang, di sini, menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
“Suspek memberitahu dua rakan mangsa yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk akan dibebaskan dengan jaminan polis dengan bayaran RM5,000 bagi setiap seorang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa mempercayai dakwaan suspek itu sebelum melakukan tiga transaksi wang ke dalam satu akaun bank yang disyaki akaun keldai seperti diarahkan.
Mohammad Ali berkata, mangsa bagaimanapun mula mengesyaki dirinya ditipu selepas hadir ke IPD Bagan Datuk dan dimaklumkan bahawa tiada urusan jaminan dilakukan oleh pegawai penyiasat pada hari berkenaan.
Mohammad Ali berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong seseorang menyerahkan wang.
“Orang ramai diminta agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon menyamar sebagai pihak polis.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi IPD yang berdekatan bagi membuat pengesahan dan tidak membuat sebarang transaksi wang ke akaun wang mencurigakan,” katanya lagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Polis Perak tumpaskan tiga sindiket scam, 36 individu ditahan


