KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor mengakui tidak tahu menahu berhubung desas-desus bahawa suaminya, Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta hari ini bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah bagi kes SRC International.
Sebaliknya, isteri bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi prosiding berkaitan kes solar hibrid yang dihadapinya.
Ketika ditanya berhubung laporan sebuah akhbar bahawa dua wakil Najib hadir ke mahkamah untuk menjelaskan denda, Rosmah mengaku beliau tidak mengetahuinya.
“Siapa dia wakil yang datang bayar tu? Kamu semua tahu, patut beritahu saya sebab saya nak tahu. Mereka lebih tahu, kemudian menarik balik laporan berita tersebut. Oh! Rupanya tak betul.
“Saya tidak tahu, keluarga juga tidak dimaklumkan mengenainya,” ujarnya ketika ditemui wakil media di lobi kompleks mahkamah hari ini.
Rosmah hadir pada prosiding pengurusan kes berkaitan permohonannya bagi mengemukakan bukti baharu dalam rayuan kes solar.
Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 14 Januari depan.
Sewaktu ditanya perkembangan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak, Rosmah menyatakan beliau tidak mengetahui jumlah terkumpul kerana tidak terlibat dengannya.
Terdahulu, akhbar itu melaporkan dua individu dipercayai wakil bekas Perdana Menteri dilihat meninggalkan kaunter pembayaran di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi.
Difahamkan, kehadiran mereka adalah bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menyelaraskan prosedur teknikal berhubung pembayaran denda RM50 juta. – MalaysiaGazette


