Sultan Perak berkenan terima zakat perniagaan lebih RM15 juta

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM15,685,085.18 daripada 12 agensi korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR).

ZAPAR dalam kenyataan memaklumkan pembayaran zakat itu diadakan dalam majlis yang berlangsung di Istana Perak di Changkat Persekutuan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

Sumbangan terbesar diserahkan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azhar Mohd Yusof berjumlah RM5,981,444.38, diikuti Plus Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Teras Teknologi Sdn Bhd Anwar Ishak sebanyak RM2.9 juta dan Bank Rakyat diwakili Ketua Pegawai Strategi dan Kelestarian Mohamad Taufik Mahamad Zakaria berjumlah RM1,438,579.

Seterusnya penyerahan zakat perniagaan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Muzaffar Hisham berjumlah RM638,743, manakala Pengerusi Bank Simpanan Nasional Datuk Seri Dr Zukri Samat menyerahkan zakat sebanyak RM200,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad Datuk Mohamed Ismi Abdul Majid mewakili agensi itu menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,433,323.45, sementara Pengarah Hidro 2 Perak Sdn Bhd Datuk Redza Rafiq Abdul Razak turut menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM122,290.35.

Turut membayar zakat perniagaan ialah Inspirapharma Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Datuk Zulkifli Jafar (RM780,000), diikuti Kumpulan FGV diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya Nurul Muhaniza Hanafi (RM655,907), serta Pengurus Besar Operasi Metropolitan Utilities Corporation Mohd Khairiri Mohamed Zubir membayar zakat perniagaan sebanyak RM324,798.

Ia diikuti oleh Sun Life Malaysia Takaful Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Noor Azam Mod Yusof sebanyak RM100,000, manakala Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Nor Azman Zainal berjumlah RM1.11 juta.

Sultan Nazrin turut berkenan menyerahkan zakat yang diterima kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang juga Ahli Lembaga Pengarah ZAPAR Syamsul Hazeman Md Salleh.

ZAPAR memaklumkan penyerahan zakat perniagaan berkenaan mencerminkan iltizam berterusan sektor korporat dalam menunaikan kewajipan berzakat, di samping memperkukuh peranan zakat sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan ummah.

“Dana ini dijangka memberi manfaat berpanjangan kepada golongan asnaf, khususnya dalam meringankan beban dan memperluas peluang untuk meningkatkan taraf hidup.

“Semoga usaha murni ini terus menjadi pemangkin kepada pembudayaan amalan berzakat dalam kalangan warga korporat, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan Perak Darul Ridzuan,” menurut kenyataan itu. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI