KUALA KANGSAR – Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berpotensi menjadi platform strategik memperluas pasaran produk perikanan tempatan kepada pengguna dari seluruh negara.
Inisiatif itu dilihat mampu membuka peluang lebih besar kepada usahawan perikanan, penternak ikan sangkar dan nelayan darat di negeri ini dalam memperkenalkan produk masing-masing kepada kelompok pengguna yang lebih luas, khususnya mereka yang menggunakan lebuh raya tersebut.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, jumlah pengguna Lebuhraya PLUS yang dianggarkan mencecah hingga 2.2 juta sehari pada musim perayaan merupakan potensi pasaran besar untuk produk berasaskan hasil ikan Sungai Perak.
Menurutnya, lokasi R&R Sungai Perak yang menjadi tempat persinggahan pengguna lebuh raya boleh dimanfaatkan sebagai ruang memperkenalkan keunikan makanan tempatan sekali gus merancakkan ekonomi komuniti terlibat.

“Saya difahamkan kebiasaannya sekurang-kurangnya 1.9 juta pengguna akan menggunakan lebuh raya ini setiap hari dan pada musim perayaan boleh cecah 2.2 juta sehari.
“Jadi sudah tentulah kita akan dapat meningkatkan ekonomi kita dengan memperkenalkan masakan atau hasil daripada ikan Sungai Perak di R&R ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kemuncak Fiesta Ikan Perak 2026 di R&R Sungai Perak arah selatan, di sini pada Jumaat.
Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri turut berharap kerjasama dengan pihak pengurusan PLUS dapat membuka ruang kepada usaha memperkenalkan produk makanan berasaskan ikan Sungai Perak secara lebih tersusun kepada pengguna lebuh raya.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepelbagaian hasil perikanan negeri, malah berpotensi meningkatkan permintaan terhadap produk keluaran usahawan tempatan.
Sementara itu mengulas mengenai Fiesta Ikan Perak 2026, Zolkafly berkata, fiesta yang memasuki edisi ketiga itu dianjurkan bagi mengangkat kekayaan sumber perikanan Sungai Perak selain menyediakan platform pemasaran kepada pengusaha industri perikanan, penternak ikan sangkar dan nelayan darat.
Katanya, penganjuran yang bermula 23 Oktober lalu dan berlangsung pada setiap hujung minggu itu turut memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan hasil perikanan berkualiti tinggi serta menikmati keunikan hidangan tempatan.
“Antara produk dan sajian yang diketengahkan termasuk ikan pindang daun seniar, rendang kerang versi Perak, gyoza, lumpia nila, ikan pekasam dan ikan salai.
“Selain produk berasaskan ikan air tawar, Jabatan Perikanan turut mempromosikan hasil akuakultur marin bernilai tinggi seperti udang marin dan ketam kulit lembut yang berpotensi dikembangkan sebagai produk baharu industri perikanan negeri,” katanya. -MG Perak


