Minit pengampunan Najib tidak wajar jadi polemik politik – Saarani

IPOH – UMNO Perak mengecam tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, yang menyebarkan dokumen didakwa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga membuka ruang kepada polemik yang boleh meremehkan kuasa pengampunan diraja.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan sedemikian tidak boleh dipandang ringan kerana kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Yang diPertuan Agong (YDPA) di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan mempunyai kedudukan tersendiri yang wajib dihormati semua pihak.

Menurutnya, UMNO Perak mempersoalkan proses penyahklasifikasian dokumen berkenaan, termasuk pihak yang memberikan kelulusan, asas perundangan yang digunakan serta sama ada perkara itu telah dirujuk kepada YDPA untuk mendapatkan perkenan.

“Persoalan ini wajar diberikan penjelasan yang tuntas agar tidak timbul sebarang keraguan terhadap integriti pengendalian dokumen rasmi yang berkaitan dengan prosiding pengampunan diraja.

“Justeru, UMNO Perak berpendirian bahawa prosiding pengampunan diraja tidak wajar diperalatkan untuk kepentingan politik, apatah lagi sehingga mengundang perdebatan yang boleh mencemarkan kemuliaan institusi YDPA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Saarani berkata, UMNO Perak mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung kesahihan dokumen berkenaan, proses penyahklasifikasiannya serta pematuhan terhadap peruntukan undang-undang dan tatacara yang sedang berkuat kuasa.

Tambahnya, sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan kuasa atau ketidakpatuhan terhadap prosedur ditetapkan, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab tanpa sebarang kompromi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiada pihak wajar mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan – UMNO Perak

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI