Perak perlu lebih ramai pakar psikiatri susulan peningkatan isu kesihatan mental pelajar

IPOH – Kekurangan tenaga pakar dalam bidang kesihatan mental, khususnya psikiatri kanak-kanak dan remaja, masih menjadi cabaran di Perak dalam usaha menangani peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan apabila negeri ini merekodkan 171 kes bunuh diri bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026, termasuk 46 kes dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, Perak menduduki tempat keempat tertinggi di Malaysia bagi tempoh berkenaan, selepas Selangor dengan 277 kes, Kuala Lumpur (165 kes) dan Johor (148 kes).

Menurutnya, sebanyak 1,648 kes bunuh diri direkodkan di seluruh negara antara 2025 hingga Jun 2026.

“Kerajaan negeri mengambil berat dan memberikan perhatian serius terhadap isu kesihatan mental, khususnya kejadian bunuh diri dan tingkah laku mencederakan diri dalam kalangan remaja.

“Secara umumnya, tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang kesihatan mental di negeri Perak masih memerlukan pengukuhan bagi memastikan keperluan pelajar sekolah menengah dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.

“Perkhidmatan kesihatan mental yang telah disediakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN Perak) melalui kerjasama pelbagai agensi masih menghadapi cabaran dari segi kecukupan tenaga kerja, kepakaran yang khusus, beban tugas serta akses kepada perkhidmatan sokongan psikologi dan psikiatri,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan M Thulsi Thivani (PH-Buntong) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Yang Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Perak perlu lebih ramai pakar psikiatri susulan peningkatan isu kesihatan mental pelajar
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 NOVEMBER 2026.

Dalam perkembangan sama, Sivanesan memaklumkan sehingga November 2024, JKN Perak 29 orang Pegawai Psikologi yang berkhidmat di semua fasiliti kesihatan di negeri Perak, manakala 14 orang memberikan perkhidmatan di Klinik Kesihatan seluruh negeri.

“Selain itu, setiap daerah juga mempunyai pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang mampu merangkumi perkhidmatan sokongan psikososial semasa krisis dan bencana, manakala di hospital, bilangan pakar psikiatri di Perak adalah seramai 45 orang.

“Bagaimanapun, bilangan ini masih belum mencukupi bagi menampung peningkatan keperluan perkhidmatan susulan pertambahan bilangan pesakit.

“Nisbah jumlah pakar psikiatri kepada penduduk di negeri ini ialah 1:49517 orang penduduk berbanding purata nisbah kebangsaan adalah 1:69,860 orang penduduk, mnakala sasaran nisbah jumlah pakar psikiatri kepada penduduk adalah 1:40,000,” ujarnya.

Sivanesan berkata, terdapat tiga orang Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di Perak yang masing-masing ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Taiping.

“Setakat ini, Hospital Teluk Intan masih belum mempunyai Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja. Penambahan bilangan pakar dalam bidang tersebut masih diperlukan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan di negeri ini.

“Kekurangan pakar berkenaan dilihat sebagai antara cabaran dalam memastikan pelajar yang berdepan tekanan emosi, kemurungan, kebimbangan serta kecenderungan mencederakan diri mendapat penilaian dan rawatan sewajarnya pada peringkat awal,“ ujarnya.

Dalam konteks pelajar sekolah menengah, beliau menjelaskan bahawa akses kepada pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja amat penting bagi memastikan masalah kesihatan mental dapat dikenal pasti, dinilai dan dirawat sebelum keadaan menjadi lebih serius. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Cabaran institusi pendidikan antara punca masalah kesihatan mental kanak-kanak, remaja

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI