IPOH – Pemilik lot kediaman kosong dan tanah terbiar di Perak yang gagal mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan kawasan masing-masing boleh dikenakan tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan secara berperingkat terhadap pemilik hartanah yang ingkar arahan notis pembersihan mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Menurutnya, tindakan itu termasuk pengenaan kompaun mengikut jenis kesalahan sebelum tindakan pendakwaan di mahkamah diambil.
“Kerajaan negeri mengambil memandang serius berkaitan isu tanah serta rumah milik persendirian atau pemaju swasta yang dibiarkan terbiar tanpa penyelenggaraan sehingga menimbulkan kacau ganggu.
“Ia seperti pertumbuhan semak samun yang tidak terkawal, tempat pembiakan nyamuk Aedes dan haiwan perosak, serta pembuangan sampah haram yang menjejaskan keselesaan, keselamatan dan kesihatan awam penduduk sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.
Chai Yi meminta penjelasan daripada kerajaan negeri tentang usaha mengaktifkan semula rumah-rumah kosong serta lot terbiar di kawasan Kampung Baru agar tidak terus menjadi semak samun dan sarang penjenayah.
Mengulas lanjut Saarani berkata, PBT juga boleh melaksanakan sendiri kerja pembersihan di kawasan terbiar sekiranya pemilik masih gagal mengambil tindakan selepas notis dikeluarkan.
Jelas beliau, kos kerja pembersihan yang dilaksanakan itu kemudiannya boleh dituntut semula daripada pemilik tanah atau premis terbabit tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Saarani berkata, dalam menangani isu berkenaan, lazimnya PBT akan melaksanakan pemantauan berkala selain pemeriksaan dan tindakan susulan berdasarkan aduan orang ramai.
Katanya, langkah awal adalah mengenal pasti pemilik lot tanah terbiar menerusi semakan rekod pemilikan sebelum Notis Arahan Pembersihan atau Notis Bagi Menghapuskan Kacau Ganggu dikeluarkan.
“Langkah pertama yang diambil adalah mengenal pasti pemilik tanah bagi lot terbiar melalui semakan rekod pemilikan sebelum mengeluarkan Notis Arahan Pembersihan atau Notis Bagi Menghapuskan Kacau Ganggu di bawah seksyen yang dinyatakan.
“Notis ini mewajibkan pemilik hartanah melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan dalam tempoh masa yang ditetapkan di antara 7 hingga 14 hari,” jelasnya.
Dalam pada itu, Saarani menjelaskan, pengurusan lot kediaman kosong dan tanah terbiar di kawasan Kampung Baru yang melibatkan tanah berimilik tertakluk kepada peruntukan Seksyen 92 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Beliau berkata, urusan pemulihan, penyewaan atau pembangunan semula hartanah persendirian perlu dilaksanakan oleh pemilik berdaftar atau pihak yang diberi kuasa mengikut undang-undang serta tertakluk kepada syarat dan sekatan kepentingan.
Kata beliau, Seksyen 352 Kanun Tanah Negara pula memperuntukkan kuasa berkaitan peletakhakan semula tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri sekiranya pemilik atau pemaju gagal menguruskan tanah berimilik masing-masing dengan cekap dan berkesan dalam tempoh ditetapkan. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Rumah kosong antara punca kes denggi meningkat – Perak


