Pembangunan warisan sejarah perlu libatkan pendidikan

TAIPING – Pembangunan warisan sejarah perlu melibatkan sektor pendidikan dalam melahirkan kesedaran masyarakat, menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ujar beliau, semua pihak tidak boleh bergantung kepada sektor pelancongan semata-mata apabila melibatkan pembangunan warisan sejarah memandangkan ilmu merupakan elemen penting dalam melahirkan kesedaran masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, pembanguan warisan sejarah juga perlu menggalakkan penyelidikan, pemuliharaan, dan pengembangan sebagai sebahagian daripada identiti negara.

“Melalui pemahaman dan apresiasi yang mendalam terhadap warisan sejarah, kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang menghargai dan menghormati pelbagai lapisan budaya yang membentuk negara ini.

“Oleh itu, pemangkinan kesedaran sejarah di kalangan masyarakat adalah penting untuk memastikan warisan ini bukan hanya menjadi tarikan pelancongan, tetapi juga menjadi satu sumber kebanggaan dan kekayaan untuk setiap rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping, di Dataran Warisan di sini, pada Sabtu.

Menurut Saarani, langkah yang berkesan perlu diambil dalam memastikan warisan sejarah dapat diakses dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Ujar beliau, pendidikan tentang sejarah dan budaya harus disalurkan melalui pelbagai medium agar dapat menyentuh hati dan minda setiap individu.

“Dengan cara ini, kita boleh meyakinkan bahawa warisan sejarah bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk nostalgia, tetapi juga sebagai titik tolak untuk pertumbuhan dan perkembangan masyarakat yang maju dan celik ilmu.

“Oleh yang demikian, sambil kita memanfaatkan potensi ekonomi daripada pembangunan warisan, janganlah kita lupakan tanggungjawab kita untuk menjaga dan menghargai warisan tersebut sebagai penjana kesedaran sejarah dan pengiktirafan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi mercu tanda keunikan Bandar Warisan Taiping,” katanya.

Saarani turut berkata, pihaknya menyambut baik dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap inisiatif yang diambil oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT) melalui sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping.

Beliau berkata, sambutan berkenaan merupakan langkah yang sesuai dengan hasrat dan perancangan kerajaan negeri untuk menggalakkan aktiviti kemasyarakatan yang berakar umbi dalam warisan tempatan.

“Keberhasilan sambutan ini diyakini dapat menarik perhatian pengunjung dengan jumlah yang signifikan, dan manfaatnya dijangka dapat dirasai oleh komuniti tempatan secara keseluruhan.

“Harapan saya MPT dapat berterusan dalam merancang acara-acara yang inklusif dan hoslitik sempena sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping untuk mendorong penghayatan terhadap nilai-nilai warisan sejarah dan ketamadunan negara,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024 RM1.35 bilion tertinggi dalam sejarah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI