IPOH – Sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) mula dibuka di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) susulan kejadian banjir berikutan cuaca hujan dalam tempoh lama, pada Rabu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, PPS yang dibuka adalah di Dewan Perdana Trong, Dewan Terbuka Masjid Al-Wusta, Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Ibol dan SK Matang Gelugor.
Katanya, setakat ini tiada rekod jumlah mangsa dan keluarga yang terlibat kerana difahamkan operasi pemindahan mangsa banjir sedang giat dijalankan pasukan keselamatan.
“Antara kawasan yang terjejas bencana banjir adalah Kampung Batu 11 di Bukit Gantang yang mana beberapa buah rumah telah dinaiki air.
“Keadaan semasa cuaca hujan renyai dan penduduk telah mula berpindah sementara ke Dewan Perdana Trong,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Menurutnya, pembukaan kesemua PPS berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan lima PPS yang dibuka di Perak selepas satu dibuka di Dewan Bandaran Gopeng, Kampar.
Katanya lagi, PPS yang mula dibuka pada 20 Jun lalu itu masih menempatkan 50 mangsa daripada 16 keluarga yang terjejas banjir di Kampung Ulu Geruntum.
Sementara itu katanya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua sungai di Perak merekodkan bacaan melepasi paras normal.
“Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang, Kampar berada pada tahap amaran dengan bacaan 22.24 meter sementara Sungai Slim di Slim River, Muallim pada tahap waspada (25.06 meter),” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


