Banjir Teluk Intan, dua PPS dibuka ekoran pertambahan mangsa

Teluk Intan – Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS), dibuka di daerah Hilir Perak pada jam 6.00 petang pada Selasa ekoran pertambahan mangsa banjir dari Changkat Jong, di sini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Daerah Hilir Perak, Kapt. (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Langkap, dibuka selepas Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan, tidak lagi mampu menampung pertambahan mangsa banjir.

Menurut Mohd Fazly, proses pemindahan mangsa masih dijalankan pasukan penyelamat ekoran hujan lebat sejak jam 1.30 petang yang menyebabkan air Sungai Bidor dan Sungai Sungkai melimpah memasuki kawasan kediaman penduduk.

“Penolong Pegawai Daerah juga merangkap bagi pihak Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak, Siti Mastura Noruddin, telah mengumumkan pembukaan sebuah lagi PPS Dewan MPTI Langkap dan kerja-kerja pemindahan sedang dijalankan.

“Semua mangsa yang dipindahkan merupakan penduduk dari Batu 9, Jalan Changkat Jong, manakala jumlah mereka masih belum dapat dipastikan sehingga semua selesai dipindahkan,” katanya ketika dihubungi MG Perak, pada Selasa.

Sementara itu, Mohd Fazly berkata, jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan, meningkat kepada 182 orang melibatkan 59 keluarga berbanding 50 mangsa pada awal pagi Selasa.

“Mangsa terdiri daripada 66 perempuan dewasa, 49 lelaki dewasa, 38 kanak-kanak perempuan, 26 kanak-kanak lelaki, 16 warga emas perempuan, sembilan warga emas lelaki, tiga bayi lelaki, tiga perempuan kelainan upaya dan seorang lelaki kelainan upaya.

“Semua mangsa yang dipindahkan merupakan penduduk dari Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Batu 9 Simpang Tiga, Batu 10, Batu 7, Lorong Sidang Osman dan Batu 9,” katanya.

Tambah beliau, tiada sebarang jalan ditutup disebabkan kenaikan air di sekitar kawasan terjejas. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Banjir Teluk Intan, 50 mangsa dipindahkan ke PPS

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI