Banjir Teluk Intan, 50 mangsa dipindahkan ke PPS

TELUK INTAN – Seramai 50 mangsa daripada 16 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Serbaguna Padang Tembak, di sini, selepas kediaman mereka dinaiki air sejak petang semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Daerah Hilir Perak, Kapt. (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, pembukaan PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak, Siti Mastura Noruddin pada jam 7.00 malam, pada Isnin.

Menurut Mohd Fazly, ke semua mangsa yang dipindahkan ke PPS berkenaan merupakan penduduk dari Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Batu 9, Simpang Tiga dan Batu 10, Changkat Jong.

“Seramai 13 lelaki dewasa, 16 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki, sembilan kanak-kanak perempuan, dua warga emas lelaki, tiga warga emas perempuan dan seorang perempuan kelainan upaya dipindahkan setakat pagi ini.

“Bagaimanapun jumlah berkenaan dijangka bertambah menjelang tengah hari memandangkan proses memindahkan mangsa masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi MG Perak, pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua mangsa dipindahkan ekoran air Sungai Bidor melimpah dan melebihi paras bahaya di mana setakat jam 7.30 pagi tadi ia berada pada paras 4.13 meter.

“Operasi menyelamat masih dijalankan melibatkan pasukan penyelamat dan agensi lain seperti APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), RELA, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI