Penduduk gesa usaha konkrit selesai masalah banjir

TELUK INTAN – Penduduk di Kampung Batu 9, Simpang 3 Changkat Jong, dekat sini dan sekitar menggesa agar satu usaha konkrit dapat dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah banjir yang berlaku setiap tahun di kawasan mereka.

Malah, fenomena banjir genang atau ‘termenung’ yang menjejaskan puluhan rumah di situ sejak Ahad, disifatkan sebagai kejadian terburuk yang pernah melanda kampung mereka.

Penduduk kampung, Alias Jamhari, 35, berkata, mereka sudah tidak tahan ekoran terpaksa berhadapan situasi banjir susulan daripada limpahan air Sungai Bidor yang berlaku pada Ahad.

Situasi banjir genang di Kampung Batu 9, Simpang 3 Changkat Jong.

“Sering kali kami meminta agar satu jalan penyelesaian dapat diadakan bagi mengelakkan kejadian ini berulang memandangkan ia bukan masalah baharu,  sebaliknya kerap berlaku sehingga tiga atau empat kali dalam setahun.

“Apabila berlaku banjir, ia menjejaskan pendapatan penduduk memandangkan kami tidak boleh keluar untuk memungut hasil sawit,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu 9, Simpang 3 Changkat Jong, dekat sini pada Rabu.

Penduduk, Alias Jamhari,

Tambah Alias, ketika ini juga terdapat sebahagian penduduk kampung yang bergotong-royong bagi menyediakan makanan kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Padang Tembak yang terletak kira-kira 14 kilometer (km) dari kampung berkenaan.

Beliau berkata, dianggarkan seramai 15 penduduk setempat turut bersama-sama melakukan pemantauan ke atas 70 buah rumah yang terjejas akibat banjir bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang kemungkinan seperti pecah masuk dan sebagainya.

Dalam pada itu, Alias meminta agar satu pertemuan meja bulat antara pihak kerajaan dan penduduk setempat dapat diadakan segera sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah banjir yang semakin membimbangkan itu.

Salah seorang mangsa banjir di Kampung Batu 9, Simpang 3 Changkat Jong.

“Saya berharap kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melihat masalah yang kami hadapi dan kami bukanlah mahu ‘bulan dan bintang’, tetapi hanya mahukan isu banjir ini diselesaikan segera.

“Kami tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya berharap agar ada jalan penyelesaian terhadap masalah banjir ini melalui perbincangan di antara penduduk, jabatan kerajaan dan wakil rakyat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Ali Omar, 65, berkata, hampir 70 peratus perabot di kediamannya rosak ditenggelami air yang dikatakan naik secara mengejut pada malam Ahad.

“Ketika kejadian itu saya sekeluarga sedang tidur, dan tiba-tiba sedar air sudah tinggi. Barang-barang seperti peti ais dan almari tidak sempat diselamatkan, begitu juga dengan penduduk kampung lain.

“Ada antara penduduk di sini yang sudah tidak memiliki perabot yang banyak kerana sudah ‘letih’ membeli perabot dan barangan baharu dek kerana sering terjejas akibat banjir setiap tahun,” katanya lagi.

Penduduk menunjukkan paras air banjir genang di Kampung Batu 9, Simpang 3 Changkat Jong.

Sementara itu, tinjauan wartawan MG Perak ke lokasi mendapati masih terdapat beberapa rumah yang terjejas disebabkan air banjir genang yang berketinggian dari paras lutut sehingga pinggang.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah dalam satu kenyataan berkata, setakat jam 2 petang, seramai 238 mangsa banjir melibatkan 78 keluarga ditempatkan di dua PPS di Hilir Perak iaitu di Dewan Serbaguna Padang Tembak dan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Banjir Teluk Intan, 50 mangsa dipindahkan ke PPS

Banjir Teluk Intan, dua PPS dibuka ekoran pertambahan mangsa

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI