Banjir Perak: Jumlah mangsa kekal 329

IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak dan Kerian kekal seramai 329 orang daripada 94 keluarga mangsa, setakat jam 8 pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata kesemua mangsa yang terjejas di Hilir Perak ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, sementara mereka yang berada di Kerian ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu.

Katanya 183 mangsa daripada 54 keluarga yang dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak merupakan penduduk 11 kawasan penempatan yang terjejas akibat situasi berkenaan.

Kawasan terbabit adalah Lorong Kedah; Lorong Belakang Klinik; Batu 9, Simpang 3; Batu 10; Batu 7; Lorong Sidang Osman; Batu 9; Lorong Mesra; Batu 8; Lorong Sekolah, Kampung Sungai Kerawai serta Batu 7½.

“Manakala jumlah mangsa dan keluarga yang ditempatkan di dua PPS di Kerian masih kekal setakat pagi ini.

“Mereka yang berada di PPS SK Changkat Lobak seramai 90 mangsa daripada 22 keluarga dari Kampung Matang Tengah, Kampung Changkat Lobak serta Kampung Beriai.

“Sementara 56 mangsa daripada 18 keluarga yang dipindahkan ke PPS SK Alor Pongsu melibatkan penduduk dari Kampung Selekoh, Kampung Beriai, Kampung Parit Air Hitam 2 serta Kampung Parit Ali Kalang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, berdasarkan kepada data aras air sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak merekodkan paras bahaya iaitu 4.09 meter (m) berbanding paras normal 2 m.

Tambahnya, sementara paras air di Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang mencatatkan paras waspada iaitu 13.27 m.

Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca ribut petir beserta hujan dijangka berlaku pada sebelah petang hingga malam di Hilir Perak dan Kerian, pada Rabu. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI