KUALA LUMPUR – Rakyat tidak perlu panik berdepan ketidaktentuan bekalan global susulan konflik geopolitik dunia antara Amerika Syarikat (AS), rejim Israel dah Iran kerana bekalan petrol, beras serta makanan asas negara ketika ini mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan memberi jaminan pemantauan rapi akan terus dilakukan bagi memastikan keperluan rakyat, aktiviti ekonomi dan sektor kritikal negara tidak terjejas.
Beliau berkata, walaupun krisis bekalan global memberi tekanan terhadap rantaian perdagangan, kos logistik, harga tenaga dan input pengeluaran, kerajaan telah mengambil langkah awal bagi menyerap kesan tersebut supaya rakyat tidak menanggung sepenuhnya tekanan kenaikan kos.
“Kerajaan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk. Pemantauan dan intervensi dilaksanakan secara tersusun, berasaskan data serta diselaraskan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN),” katanya ketika memberikan penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas kedudukan bekalan negara, Akmal Nasrullah berkata bekalan bahan api negara dijamin mencukupi sehingga Ogos ini, selain usaha berterusan dilaksanakan bagi memastikan bekalan tenaga kekal stabil.
“Ini penting supaya aktiviti harian rakyat, pengangkutan awam, logistik, perniagaan dan sektor kritikal dapat terus beroperasi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bekalan beras negara termasuk stok penimbal berada pada tahap terkawal dengan jumlah mencukupi untuk tempoh lima hingga enam bulan akan datang.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata bekalan makanan asas seperti ayam, telur, ikan, susu dan buah-buahan pula mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan.
Dalam masa sama, Akmal Nasrullah berkata kerajaan turut memantau harga barangan keperluan melalui platform aplikasi PriceCatcher membabitkan 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis runcit seluruh negara dengan sokongan 850 pegawai pemantau harga.
Beliau berkata, kerajaan memahami terdapat kebimbangan rakyat terhadap tekanan kos sara hidup akibat perkembangan global, namun asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.
Katanya, kerajaan terus memperkukuh langkah melindungi rakyat menerusi bantuan dan subsidi bersasar termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi petrol bersasar serta Program Jualan Rahmah MADANI.
“Ukuran sebenar daya tahan ekonomi bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi kestabilan yang dapat dirasai rakyat apabila bekalan minyak tersedia, barangan keperluan ada di pasaran dan pekerjaan terus terjamin,” kata Akmal Nasrullah.
Beliau berkata, kerajaan akan terus berwaspada terhadap perkembangan krisis bekalan global yang dijangka mengambil masa untuk pulih sepenuhnya, namun rakyat tidak perlu terpengaruh dengan khabar angin sehingga melakukan pembelian secara berlebihan.
“Malaysia akan terus bertindak awal supaya ekonomi negara kekal stabil, rakyat terus dilindungi dan keyakinan terhadap negara terus diperkukuh,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, kenaikan kos baja susulan tekanan rantaian bekalan global dijangka memberi cabaran kepada sektor pertanian, namun kerajaan mengambil langkah awal bagi memastikan bekalan input pertanian negara kekal terjamin.
“Sebanyak 63 peratus keperluan baja negara bergantung kepada sumber import. Berdasarkan penilaian semasa, kos baja diunjurkan meningkat antara 15 hingga 20 peratus, manakala kos makanan ternakan meningkat sekitar 8 peratus,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan tersebut termasuk memperkukuh kerjasama strategik dengan negara lain bagi memastikan kesinambungan bekalan baja, selain membantu golongan petani dan pekebun kecil berdepan tekanan peningkatan kos operasi. – MalaysiaGazette.


