Bukan semua varieti durian alami penyusutan harga

KUALA KANGSAR – Harga durian komersial seperti Musang King, IOI dan Duri Hitam masih berada pada paras stabil meskipun berlaku penyusutan harga khususnya melibatkan varieti Kampung.

Wakil Komuniti pekebun durian daerah Kuala Kangsar, Mohamad Kamal Noh Safiee berkata, lambakan ketika ini lebih tertumpu kepada durian kampung, manakala varieti komersial masih dijual dengan harga berpatutan.

“Pada pandangan saya, harga untuk buah-buahan tropika ini bukan harga komoditi kerana ia mengikut pasaran serta bergantung kepada permintaan dan bekalan.

“Cuma apabila bekalan lebih, akan berlaku penyusutan harga. Ketika ini semua rakyat mampu membeli dengan harga yang lebih murah untuk varieti seperti Musang King dan masih dianggap setimpal.

“Durian adalah buah bermusim dan dipengaruhi faktor iklim. Ketika ini pun pokok-pokok saya sudah mula mengeluarkan bunga semula. Secara teknikalnya, mungkin tiga bulan lagi akan ada satu lagi musim durian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sesi Ramah Mesra Komuniti Durian Daerah Kuala Kangsar Bersama Media Perak di Homestay Dango Cakcibor, di sini hari ini.

Bukan semua varieti durian alami susut harga
Wakil Komuniti pekebun durian membuka buah durian kahwin ketika ditemui dalam Sesi Ramah Mesra Komuniti Durian Daerah Kuala Kangsar bersama Media Perak di Dango Cakcibor, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF 03 JULAI 2026.

Katanya, pendapatan pekebun bagi musim pertama tahun ini dijangka terjejas berikutan kemungkinan berlaku dua hingga tiga musim durian dalam tempoh setahun dengan menganggarkan penyusutan nilai hasil pada musim ini sekitar 30 peratus berbanding tahun lalu.

“Kalau dibandingkan dengan tahun lalu, penyusutan harga lebih kurang 30 peratus dan masih boleh diterima.

“Cuma kaedah pekebun ialah menjana pendapatan pada musim seterusnya kerana bukan semua ladang akan mengeluarkan hasil pada masa yang sama. Apabila ada ladang yang tidak berbuah, ketika itu harga biasanya akan meningkat sedikit,” ujarnya.

Mohamad Kamal Noh turut menjelaskan lambakan bekalan tidak melibatkan durian komersial seperti Musang King, sebaliknya hanya varieti kampung.

“Untuk varieti Musang King masih berada pada tahap stabil. Harga di kebun bagi Gred A sekitar RM20 sekilogram, manakala Gred C antara RM8 hingga RM10 dan masih dianggap baik yang  berlaku lambakan cuma varieti tertentu.

“Durian komersial yang dijual dengan harga murah ialah buah yang bermasalah seperti tiger stripe dan burn tip, “ ujarnya.

Mengulas dakwaan kemasukan durian dari Thailand menjejaskan pasaran tempatan, beliau berkata, perkara itu masih belum mempunyai bukti yang jelas.

“Isu itu memang ada kami dengar dalam kalangan pekebun, tetapi bukti yang jelas belum ada. Cuma kami mencadangkan kerajaan mewujudkan sistem traceability atau sistem kebolehjejakan supaya kita dapat mengetahui dari mana asal buah tersebut,” katanya.

Tambahnya, perdagangan durian antara Malaysia dan Thailand tidak menjadi isu kerana kedua-dua negara mengamalkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), namun aspek pelabelan perlu diberi perhatian. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Komuniti pekebun durian Perak cadang durian diisytihar ‘Buah Kebangsaan Malaysia’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI