Digelar ‘keranda terbang’ hakikatnya Nuri banyak jasa penting – Nor Ibrahim

IPOH – Walaupun usianya mencecah 74 tahun, bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman masih mampu mengingati dan menceritakan semula detik-detik bersejarah pasukan pertahanan negara dalam berdepan ancaman seperti pengganas komunis sebelum ini.

Selain pengalaman peribadinya, anak kelahiran Kuala Kangsar itu juga gemar menulis peristiwa bersejarah dilalui rakan-rakannya yang pernah berkhidmat sebagai anggota tentera di blog miliknya.

Ujar bekas juruterbang helikopter Nuri itu, selain melalui tulisan pada blog ‘jottings of xnuripilot’, beliau juga telah menerbitkan lapan buah buku yang menceritakan pelbagai peristiwa bersejarah ketenteraan negara buat bacaan umum.

“Saya dalam proses menyiapkan sebuah lagi buku yang menceritakan tentang Peristiwa Kalabakan yang mencetuskan konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia pada 29 Disember 1963.

“Ramai dalam kalangan masyarakat tidak tahu dan mungkin sudah lupa peristiwa yang mengorbankan lapan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan mencederakan 18  yang lain. Dan disebabkan itu saya rasa bertanggungjawab untuk menceritakannya menerusi buku itu,” katanya.

nor ibrahim tudm nuri pesara
Pesara Tentera Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman (tengah) selepas menyampaikan perkongsian pada sesi Bicara Tokoh Pejuang Perak sempena Program Sehari Bersama Wira Negara di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OKTOBER 2023

Tambah beliau penghasilan buku itu dibuat menerusi kajian dan temu bual bersama para vateran tentera yang terlibat dalam tempoh setahun dan dijangka bakal dilancarkan pada tahun hadapan.

Beliau terdahulu ditemui pada program Sehari Bersama Wira Negara anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru dekat sini, baru-baru ini.

Pada program berkenaan, Nor Ibrahim merupakan antara panel selain daripada Penulis Buku, Radzi Sapiee, yang berkongsi pengalaman pahit dan manis sepanjang berkhidmat sebagai pegawai di TUDM khususnya ketika terlibat dalam beberapa operasi memerangi komunis sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Nor Ibrahim yang dilahirkan pada April 1949, memulakan kerjaya sebagai juruterbang helikopter TUDM pada tahun 1973 sebelum bersara pada tahun 1992.

Walaupun sudah bersara, dalam meniti usia emas, beliau turut menghasilkan tesis bertajuk ‘Peranan Nuri Dalam Era Insurgensi di Semenanjung Malaysia 1968-1969’ sehingga membawanya berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak Khairudin Abu Hanipah (kanan) melancarkan Program Sehari Bersama Wira Negara di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 19 OKTOBER 2023

Nuri banyak berjasa

Ketika sesi perkongsiannya, Nor Ibrahim berkata, walaupun ada menggelarkannya sebagai ‘keranda terbang’, Nuri memainkan peranan penting terutama ke atas operasi-operasi yang dijalankan pasukan keselamatan dalam usaha menghapuskan pengganas komunis yang masih berada di tanah air ini sewaktu ketika dahulu.

Bekas juruterbang itu berkata kenangannya bersama ‘burung besi’ itu terlalu banyak sehingga ia masih meninggalkan kesan mendalam tatkala perkhidmatan helikopter Sikorsky S-61 Nuri ditamatkan pada tiga tahun lalu.

Pesara Tentera Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman ketika menyampaikan perkongsian pada sesi Bicara Tokoh Pejuang Perak sempena Program Sehari Bersama Wira Negara di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh

‘Kami bukan pemburu, tapi sering diburu’. Itu frasa yang tepat menurut Nor Ibrahim bagi menggambarkan peranan helikopter Nuri yang mana sering menjadi sasaran pihak pengganas komunis.

“Pada satu operasi ‘Kota Echo’ pada Julai 1978 yang mana helikopter Nuri telah diserang oleh komunis dengan Pelancar Grenade M79 yang mana pelurunya telah meletup berhampiran dengan pintu kargo.

“Ketika saya dalam usaha untuk menyelamatkan diri daripada serangan itu dengan membawa naik Nuri ke udara, kami diserang lagi sekali dengan tembakan kedua sehingga menggegarkan helikopter itu. Namun, dengan kuasa ALLAH, kami selamat keluar daripada lokasi berkenaan,” katanya.

Pesara Tentera Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman menyampaikan perkongsian pada sesi Bicara Tokoh Pejuang Perak sempena Program Sehari Bersama Wira Negara di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OKTOBER 2023

Dalam pada itu, Nor Ibrahim berkata beliau berasa sedikit kesal kerana kisah-kisah pengorban anggota TUDM kurang didendangkan berbanding pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) tatkala tiba Sambutan Bulan Kebangsaan.

“Apabila tiba ‘musim’ patriotisme ini, orang kurang bercakap tentang TUDM, sebaliknya hanya lebih beri tumpuan kepada TDM, PDRM, Pasukan VAT69 dan sebagainya. Sedangkan kami juga memainkan peranan penting terutama dalam perjuangan menentang komunis.

“Kami adalah penyumbang kepada pemberian bantuan sekiranya ada anggota tentera yang cedera, atau membantu membawa anggota keluar daripada kawasan yang telah diserang musuh,” katanya. -MG Perak

BACA SETERUSNYA: Jangan halang minat anak sertai polis, tentera

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI