Disiplin kamus perlu jadi amalan, tradisi – Fadhlina

KUALA KANGSAR – Penggunaan kamus sebagai rujukan dalam penulisan perlu menjadi amalan dan tradisi dalam kalangan masyarakat terutamanya pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, disiplin diamalkan bapa beliau yang merupakan Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, menjadikan Allahyarham sebagai antara tokoh yang disegani dalam negara.

“Disiplin ilmu beliau yang kami lihat sendiri adalah setiap kali menulis beliau akan melambakkan sejumlah buku sebagai rujukan serta peranan kamus sebagai rujukannya.

“Tidak kira menulis dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, kamus-kamus ini mesti berada dihadapan beliau dan ia bukan hanya satu kamus malah kamus utama seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Seminar dan Sudut Pemikiran Dato’ Dr. Siddiq Fadzil di Dewan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, pada Selasa.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah;Naib Canselor USAS, Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof dan Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

Tambah Fadhlina, disiplin yang diamalkan Allahyarham bapanya itu turut membuktikan penggunaan kamus menguatkan lagi ilmu penguasaan dan penggunaan pelbagai bahasa.

“Saya harap agar disiplin kamus ini menjadi amalan dan tradisi kita dengan penggunaan kamus dioptimumkan dalam urusan pembelajaran dan rujukan sebagai seorang pelajar,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina ketika sidang media berkata, penggunaan kamus yang optimum dapat menambah kekayaan, penguasaan dan meningkatkan mutu kualiti bahasa golongan pelajar.

“Anak-anak kita menguasai lebih daripada satu bahasa sebenarnya di mana mereka juga menguasai bahasa lain seperti Mandarin, Jerman, Perancis dan Tamil.

“Jadi memang KPM menganjurkan dan memberi sokongan kepada pelajar-pelajar khususnya dalam meningkatkan kualiti bahasa mereka dengan penggunaan kamus optimum,” katanya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI