Dua maut nahas kereta, treler di Lebuhraya Timur Barat

GERIK – Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Timur Barat dari Tasik Banding ke Gerik petang tadi.

Mereka yang maut dikenali sebagai Razali Mamat, 44 tahun dan Saiful Hamdan Ismail, 41 tahun.

Difahamkan, treler yang membawa muatan habuk kayu datang dari arah Kelantan menuju ke Taiping manakala kereta jenis Proton Wira yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai dari Gerik ke Kelantan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan membabitkan kereta dan treler itu sekitar jam 5.17 petang.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan kecemasan itu anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi kemalangan.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Wira dan treler muatan habuk kayu di Lebuhraya Timur Barat dati Tasik Banding ke Gerik petang tadi. Foto Ihsan JBPM Perak

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati dua orang mangsa tersepit di dalam kereta Proton Wira dan dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan keselamatan.

“Bagaimanapun, pemandu treler bersama kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di tempat kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang diketuai Ketua BBP Gerik, Azizan Aziz tamat sepenuhnya jam 7.39 malam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua maut, 11 cedera dalam kemalangan dua kenderaan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI