IPOH – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pusat panggilan yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian membabitkan modus operandi ‘Love Scam’ menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Ipoh, Perak pada Khamis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh jam 4.15 petang, hasil risikan dan maklumat berhubung aktiviti penipuan dalam talian.
Menurutnya, operasi itu melibatkan dua buah rumah yang dijadikan pusat operasi sindiket di Taman Ipoh Selatan dan Medan Pengkalan Setia.
“Hasil kedua-dua serbuan tersebut, polis berjaya menahan seramai 12 lelaki warga China berusia antara 25 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal serta penelitian terhadap skrip perbualan yang ditemui di dalam komputer riba yang dirampas mendapati sindiket itu berperanan sebagai pusat panggilan bagi menjalankan penipuan ‘Love Scam’ secara dalam talian.

“Sindiket ini dipercayai mula beroperasi di kedua-dua premis berkenaan sejak Jun lalu dengan menyasarkan mangsa dari negara China.
“Mereka menggunakan aplikasi Telegram dan WeChat serta capaian internet tempatan untuk berhubung dengan mangsa dengan menyamar menggunakan gambar individu yang berpenampilan menarik bagi memulakan perkenalan dengan mangsa secara rawak.
“Mangsa kemudiannya dipujuk untuk menyertai urusan jual beli barangan yang kononnya mampu memberikan pulangan keuntungan yang tinggi sebelum diarahkan membuat pembayaran secara berulang kali,” jelasnya.
Katanya, menerusi operasi tersebut polis telah merampas 158 unit telefon bimbit, enam komputer riba, enam tetikus komputer, lima router WiFi, lima skrip perbualan, 15 kad SIM, tiga unit stesen pengecas USB serta tiga penyambung wayar dengan rampasan dianggarkan berjumlah RM34,500.
“Kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Julai ini bagi membantu siasatan dan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
18 warga China ditahan disyaki terlibat kegiatan penipuan dalam talian


