TANJUNG MALIM – Peserta dan waris FELCRA Berhad Seri Gala yang menerima geran hak milik tanah di bawah Program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) perlu memanfaatkannya sebaik mungkin kerana masih ramai yang menantikan peluang sama.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, seramai 47 peserta menerima baki geran hak milik pada majlis berkenaan, menjadikan keseluruhan penerima kini seramai 89 orang termasuk 42 peserta yang telah menerima geran pada tahun lalu.
“Pada hari ini, tuan-tuan dan puan-puan menerima hak milik tanah. Ini adalah satu nikmat dan rahmat daripada Allah SWT yang wajib kita syukuri.
“Di luar sana masih ramai yang menunggu peluang yang sama. Ada yang belum memiliki tanah, manakala ada juga yang sudah mengusahakan tanah tetapi masih belum memperoleh hak milik,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Peserta PPSK serta Perasmian Dewan Besar PPSK FELCRA Berhad Kawasan Seri Gala di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah Hal Ehwal Peserta Berhad, Zainal Abidin Alias.
Dalam pada itu, Saarani berkata, pembinaan Dewan PPSK di kawasan berkenaan akan menjadi pusat pertemuan masyarakat bagi menganjurkan pelbagai program, memupuk semangat bermuafakat serta memperkukuh hubungan dalam kalangan penduduk.
“Dewan PPSK ini bakal menjadi tempat masyarakat berhimpun, bermuafakat dan membina masa depan bersama,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penantian 28 tahun berakhir, peserta, waris FELCRA Seri Gala terima geran hak milik


