Iran sahkan sudah tandatangani perjanjian dengan AS

TEHRAN – Iran mengesahkan telah menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik di Asia Barat, seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Presiden Donald Trump.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, teks Memorandum Persefahaman Islamabad telah dimuktamadkan dengan tandatangan kedua-dua presiden.

“Sekarang tiba masanya untuk menguji pelaksanaan perjanjian itu,” katanya seperti dipetik agensi berita negara IRNA.

Menurut Baqaei, proses menandatangani perjanjian tersebut dilakukan secara elektronik dan jarak jauh oleh kedua-dua pemimpin, manakala majlis menandatangani secara rasmi tidak dianggap sebagai keutamaan dalam perancangan Iran.

Sebelum ini, kerajaan Switzerland memaklumkan satu majlis pemeteraian dijadual diadakan pada Jumaat di sebuah hotel mewah di kawasan pergunungan yang menghadap Tasik Lucerne, dengan kehadiran Speaker Parlimen Iran, Bagher Ghalibaf, dan Naib Presiden AS, JD Vance.

“Apabila teks perjanjian ditandatangani oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara, sebarang pelanggaran terhadapnya secara semula jadi akan membawa implikasi yang lebih besar. Berdasarkan pengalaman lalu, kami memilih pendekatan ini,” kata Baqaei.

Teks penuh perjanjian itu telah diterbitkan oleh kedua-dua pihak pada Rabu.

Selepas pemeteraian tersebut, tempoh rundingan selama dua bulan akan berlangsung, dengan pembukaan semula Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan minyak dan gas dunia – dijangka menjadi langkah pertama dalam pelaksanaan perjanjian berkenaan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI