Isu ajaran sesat: Tiada ancaman keselamatan, masih terkawal

IPOH – Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris memberi jaminan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi ajaran sesat di negeri ini kerana berada dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, setakat ini di Perak tidak berlaku perkara yang melibatkan isu tersebut serta boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi memantau beberapa ajaran sesat yang dikenal pasti wujud di negeri ini.

“Perak masih berada dalam keadaan aman, tenteram dan rakyat jangan khuatir. Apa juga situasi akan ditangani oleh pihak polis dengan baik.

“Jadi, tidak perlu ada kerisauan sekiranya ada perkara-perkara yang mungkin menggugat keamanan, keselamatan negara dalam apa juga bidang kita akan mengambil tindakan.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang ini belum masanya untuk bertindak,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Bersama Polis Perak dan Flash Express di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd Taib, Chemor di sini pada Isnin.

Isu ajaran sesat: Tiada ancaman keselamatan, masih terkawal
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris beramah mesra bersama para pelajar pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Flash Express di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Mohd Taib, Chemor. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 SEPTEMBER 2024.

Sabtu lalu media melaporkan, kerajaan negeri telah mengenal pasti kewujudan beberapa kegiatan ajaran sesat yang dipercayai beroperasi di daerah sekitar negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kegiatan itu dikesan menerusi penyelidikan yang dijalankan JAIPk.

Menurutnya, pihaknya memang ada memantau beberapa lokasi yang dipercayai ada mengamalkan unsur-unsur ajaran sesat dan dilihat menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebelum ini, JAIPk bekerjasama dengan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani gerakan ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan di sebuah daerah di negeri ini.

Pengarahnya, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata ketika ini, pemantauan dan siasatan masih dijalankan terutama bagi mengenal pasti pengikut ajaran terbabit serta modus operandi mereka dalam menyebarkan fahaman sesat berkenaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Beberapa ajaran sesat dikesan sekitar Perak – Saarani

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI