IPOH – Masih terdapat segelintir ibu bapa mempunyai persepsi negatif terhadap minat anak mereka untuk menyertai pasukan keselamatan seperti polis atau tentera.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata ini kerana ada antara ibu bapa yang terlalu mengkhuatiri akan aspek keselamatan anak mereka.
Menurutnya mereka seharusnya menepis persepsi buruk itu kerana minat anak-anak unutk melibatkan diri secara serius sebagai anggota pasukan keselamatan disifatkan sebagai satu khidmat bakti dan pengorbanan besar kepada negara.
“Ibu bapa beranggapan sekiranya anak-anak mereka bekerja dalam pasukan keselamatan, nyawa berada di hujung tanduk tetapi tanggapan itu perlu ditepis kerana sekarang ini kita tidak lagi berhadapan dengan pengganas dan komunis.
“Oleh itu, ibu bapa seharusnya memberi pendedahan berguna kepada generasi muda supaya mereka menyertai atau menceburi bidang pertahanan dan ketenteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sehari Bersama Wira Negara anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru dekat sini pada Khamis.
Pada program itu, turut diadakan sesi Bicara Tokoh melibatkan dua panel iaitu Bekas Juruterbang Helikopter Nuri, Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman serta Penulis Buku, Radzi Sapiee, dan dikendalikan moderator, Pensyarah Unit Pengajian Umum UNIKL RCMP, Ibrahim Ahmad.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Rafidah Abdul Aziz serta Presiden Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak, Dr Ahmad Jelani Halimi.
Mengulas tentang program, Khairudin berkata program seumpama itu dirancang untuk dijadikan sebagai acara tahunan sebagai usaha menghargai pengorbanan pejuang-pejuang negara.
“Sambutannya cukup baik mungkin boleh diadakan secara tahunan untuk kita pengiktiraf wira negara yang berkorban demi kedaulatan dan keharmonian negara kita,” katanya.
Program berkenaan menggabungkan pameran daripada tujuh agensi pasukan beruniform antaranya polis, Akademi Tentera Udara, Markas Pemerintahan Armada Barat Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). -MG Perak
[…] BACA SETERUSNYA: Jangan halang minat anak sertai polis, tentera […]
[…] Jangan halang minat anak sertai polis, tentera […]