TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemukan selamat selepas hilang selama dua minggu di Gunung Batu Putih, memaklumkan tidak mengalami sebarang gangguan mistik sepanjang berada di dalam hutan.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Jaslinda ketika beliau bersama Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan melawat wanita itu di Hospital Tapah, di sini hari ini.
Menurutnya, wanita terbabit kelihatan ceria dan tahap kesihatannya juga dilihat berada dalam keadaan baik.
“Beliau (Jaslinda) kongsikan tadi, kita pun terkejut, tak ada gangguan mistiklah. Cuma beliau memang betul bergantung air untuk hidup dan beliau tidur dalam keadaan baik beliau kata, tak ada sebarang gangguan apa-apa macam itu,” katanya.
Katanya, Jaslinda turut memaklumkan beliau sentiasa meniup wisel yang dibawanya sepanjang berada di dalam hutan sebagai usaha menarik perhatian pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
“Beliau ada wisel dan selalu tiup wisel itu dalam hutan. Tapi beliau dengar bunyi helikopter lalu lalang, dengar, dan jumpa nota SAR itu, sebutnya tadi ketika beliau bertentangan arah. SAR dah lalu dan beliau jumpa nota itu.
“Selain itu, beliau cuma berbekalkan botol air dan botol air yang dijumpai ada dalam TikTok bukan botol air beliau. Pek makanan, chewing gum (gula-gula getah) itu pun bukan beliau punya. Beliau mengatakan memang semua barang beliau ada dengan beliau,” jelasnya.
Mohd Azlan berkata, wanita terbabit turut menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa Jaslinda hidup dengan memakan cendawan sepanjang berada di dalam hutan.
“Memang beliau mengatakan tidak ada (makan), beliau ada kutip cendawan itu untuk bawa balik tapi sebenarnya cendawan itu disahkan Orang Asli, beracun dan tak makan cendawan itu. Jadi beliau memang tak makan beberapa hari dalam hutan itu,” katanya.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian ‘Trans Spencer Chapman’ pada jam 2 pagi 23 Mei lalu, melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti.
Bagaimanapun wanita itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilaporkan dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


