JKDNKA perkasa sempadan, rampasan RM77 juta bukti keberkesanan

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan selepas merekodkan rampasan bernilai lebih RM77 juta melibatkan 862 kes sejak 2023.

Ia sekali gus menyekat kerugian besar kepada negara akibat kegiatan penyeludupan.

Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejayaan itu dicapai hasil operasi bersepadu yang dilaksanakan secara terancang dan ad hoc bersama agensi lain, termasuk menerusi Ops Tiris yang memberi tumpuan kepada penyeludupan barangan kawalan.

Menurut beliau, antara barangan yang berjaya disekat daripada diseludup keluar ialah diesel, petrol, gula, tepung, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG).

“JKDNKA merupakan antara jabatan penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan kira-kira 25,000 pegawai dan anggota yang melaksanakan penugasan meliputi udara, daratan dan lautan.

“Kerjasama dalaman dan antara agensi membolehkan kita merekodkan rampasan lebih RM77 juta. Ini merupakan antara hasil yang berjaya kita selamatkan daripada menjadi kerugian kepada negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA Tahun 2026 di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan AM (PGA) di sini hari ini.

Sebelum itu beliau diminta mengulas mengenai perancangan jangka panjang JKDNKA dalam menangani isu keselamatan di sempadan negara.

Mohd Yusri berkata, penugasan membanteras penyeludupan bukan sahaja tertumpu di sempadan utara Semenanjung, malah melibatkan kawasan Pantai Timur termasuk Kelantan dan Sungai Golok sehingga ke Padang Besar, Perlis.

Katanya, pendekatan sama turut dilaksanakan di Sabah dan Sarawak menerusi Briged Sabah dan Briged Sarawak bagi memastikan kawalan keselamatan negara berada pada tahap optimum.

“JKDNKA sentiasa menyahut seruan kerajaan dan akan melaksanakan segala usaha yang dirancang untuk membanteras kegiatan jenayah serta menguatkuasakan undang-undang negara berdasarkan peruntukan dan akta yang berkuat kuasa,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, Pertandingan Rentas Halangan JKDNKA 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 19 hingga 22 Julai lalu dilihat menjadi platform penting dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi warga jabatan itu.

Pertandingan tersebut melibatkan 20 pasukan dengan penyertaan seramai 320 pegawai dan anggota daripada pelbagai formasi di bawah JKDNKA.

Sepanjang pertandingan, peserta perlu mengharungi 14 checkpoint yang direka untuk menguji kecergasan fizikal, ketahanan mental, kemahiran taktikal, keupayaan membuat keputusan di bawah tekanan serta semangat kerja berpasukan.

Tambahnya, semua elemen berkenaan merupakan kompetensi utama yang diperlukan dalam pelaksanaan tugas sebenar JKDNKA di lapangan.

“Penganjuran ini bukan sekadar mencari pasukan terbaik sebaliknya menjadi platform strategik untuk memperkukuh budaya latihan berterusan, meningkatkan profesionalisme dan memastikan setiap pegawai serta anggota sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam.

“Selaras dengan aspirasi ISPO iaitu Integrity In Service, Professional In Operation, setiap peserta mempamerkan disiplin, integriti, kepimpinan dan semangat juang yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung,” katanya.

Tambah beliau, nilai-nilai tersebut menjadi asas kepada pembentukan warga JKDNKA yang kompeten, berintegriti dan terus diyakini masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI