JKM Perak pantau kegiatan mengemis di bazar Ramadan, libat kerjasama polis

IPOH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak sentiasa melakukan pemantauan terhadap aktiviti mengemis di bazar Ramadan seluruh negeri, ketika ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, di samping itu pihaknya turut bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan tiada sebarang aktiviti mengemis dilakukan pihak sindiket.

Justeru, beliau mengingatkan kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kewangan kepada saluran yang betul bagi mengelakkan aktiviti berkenaan terus berleluasa.

JKM Perak pengemis mengemis bazar Ramadan Salbiah Datuk Salbiah Mohamed Jabatan Kebajikan Masyarakat
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed pada sesi sidang media ketika hadir pada Majlis Iftar Kasih bersama Pertubuhan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 MAC 2024.

“Bayangkan setiap seorang pengunjung bazar Ramadan beri RM1 kepada seorang pengemis, sudah pasti pengemis itu boleh mendapat ribuan ringgit dalam sebulan.

“Kemurahan sifat itu boleh, akan tetapi, kita ada banyak saluran yang boleh kita salurkan atau infakkan duit dalam keberkatan Ramadan, seperti rumah anak yatim dan badan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Kasih Sejahtera bersama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

JKM Perak pengemis mengemis bazar Ramadan Salbiah Datuk Salbiah Mohamed Jabatan Kebajikan Masyarakat rumah anak yatim
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed bergambar kenangan bersama penerima Sumbangan Aidilfitri pada Majlis Iftar Kasih bersama Pertubuhan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 MAC 2024.

Pada majlis Salbiah menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Kerjaan Negeri Perak berjumlah RM1,000 kepada setiap 10 rumah anak yatim serta PEYATIM.

Salbiah sebelum itu diminta mengulas berkenaan laporan media tempatan berkaitan kegiatan mengemis yang dilakukan warga tempatan dan asing di beberapa bazar ramadan di seluruh negara.

Di Perak, sebuah media melaporkan, seorang wanita tempatan berusia 58 tahun sanggup berulang-alik dari Parit ke Ipoh yang jaraknya lebih 60 kilometer menaiki bas untuk mencari pendapatan daripada hasil mengemis.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyampaikan sumbangan duit raya ketika hadir pada Majlis Iftar Kasih bersama Pertubuhan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 MAC 2024.

Pada masa sama, Salbiah memberitahu, pihaknya selalu mengingatkan semua penghulu dan ketua kampung untuk memberi tumpuan kepada kariah masing-masing bagi mengesan individu yang boleh dibantu JKM bagi mengelakkan mereka mengemis.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM400,000 setiap tahun sebagai peruntukkan untuk menaik taraf infrastruktur rumah anak yatim seluruh negeri yang daif.

Namun jelas beliau, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada rumah anak yatim berdaftar dengan agensi kerajaan bagi menyalurkan bantuan.

“Penting untuk rumah-rumah anak yatim ini berdaftar dengan pihak kerajaan bagi memastikan keselamatan penghuninya sentiasa terjamin.

“Pada masa sama, ia juga boleh mengelakkan daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan dengan mewujudkan rumah anak yatim atas agenda tersendiri,” ujarnya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Peniaga bazar Ramadan beri respon positif – Exco

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI