Jumlah mangsa banjir Perak kekal 75 orang di dua PPS

IPOH – Jumlah mangsa yang terjejas dengan situasi banjir di Perak kekal pada angka 75 orang daripada 22 keluarga di Daerah Kerian, setakat pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Perak berkata, kesemua mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu.

“Seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak, dan kesemua mereka dari tiga kampung iaitu Kampung Matang Tengah, Kampung Changkat Lobak serta Kampung Beriai.

“Sementara PPS di SK Alor Pongsu menempatkan 57 mangsa dari 19 keluarga yang tinggal di Kampung Selekoh, Kampung Beriai, Kampung Parit Air Hitam 2 dan Kampung Parit Ali Kalang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca hujan berpanjangan di hampir kesemua daerah, termasuk di Kerian.

Pada masa sama, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan Jalan Persekutuan di FT 147 Jalan Selama telah ditutup kepada semua kenderaan ekoran situasi banjir.

“Jalan itu telah ditutup kepada semua kenderaan dan papan tanda amaran banjir telah dipasang di kawasan yang terjejas dengan keadaan air naik.

“Justeru pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif iaitu jalan pintasan di laluan Alor Pongsu- Bukir Merah,” jelasnya lagi.- MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Mangsa banjir dan PPS di Perak terus berkurangan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI