Kedudukan kewangan Perak kukuh, kutip hasil cecah RM959 juta

KUALA KANGSAR – Kedudukan kewangan Negeri Perak semakin mengukuh apabila berjaya memperoleh kutipan hasil mencecah RM959.2 juta setakat 31 Oktober lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini kerajaan negeri sedang menggembleng tenaga bagi menjayakan projek-projek berimpak tinggi agar ia dapat memacu ekonomi demi memanfaatkan rakyat.

Katanya, ia termasuk pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), pembinaan kawasan industri di Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan serta Taman Industri Halal Perak di Manjung.

Malah Saarani berkata, Perak berjaya memperoleh pulangan hasil royalti hasil daripada pembangunan industri mineral nadir bumi dengan nilai RM21.1 juta setakat September lalu.

“Perak dalam tahun-tahun kebelakangan ini berhasil memposisikan diri sebagai antara negeri yang terkehadapan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) baru-baru ini melaporkan, sejak tahun 2018 sehingga Jun tahun ini, Perak memperoleh pelaburan direalisasikan bernilai lebih RM22.3 bilion merangkumi pelaksanaan 283 projek pembuatan yang telah mewujudkan lebih 22,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan ketika mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-67 di Istana Iskandariah, dekat sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Saarani berkata, Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di Perak yang berada pada kadar 3.6 peratus pada 2021, meningkat kepada 4.3 peratus pada tahun 2022 dengan nilai KDNK mencecah RM80.2 bilion.

Katanya, perkembangan positif itu didukung oleh prestasi sektor perkhidmatan dan pembuatan yang masing-masing bertumbuh sebanyak 7.2 dan 1.0 peratus.

Tambah beliau, sementara sektor pembinaan dan perlombongan masing-masing merekodkan pertumbuhan 6.1 dan 8.9 peratus.

Selain itu, Saarani menambah sektor pelancongan juga semakin menunjukkan perkembangan positif pada pasca pandemik apabila statistik jumlah pelancong domestik dan asing pada tahun 2022 melonjak kepada 21.44 juta orang berbanding hanya 5.85 juta pada tahun sebelumnya.

“Seiring pertumbuhan iktisad yang baik serta usaha Kerajaan Tuanku melebarkan sektor ekonomi secara lebih meluas, kadar penyertaan tenaga buruh turut menyaksikan peningkatan iaitu 65.2 peratus pada tahun 2022 berbanding 64.5 peratus pada tahun 2021.

“Perkembangan tersebut turut menanggapi usaha agresif dalam meningkatkan penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat apabila kadar pengangguran yang berada pada paras 5.3 peratus pada 2021, menurun pada kadar 4.6 peratus pada tahun lalu,” jelas Saarani. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

MGPerak: Kedudukan Kewangan Perak Kukuh, Kutip Hasil Cecah Rm959 Juta

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI