KUALA LUMPUR – Petronas mengesahkan bekalan bahan api di rangkaian stesen minyaknya di seluruh negara terjamin sehingga akhir Jun 2026 berbanding unjuran awal sehingga akhir Mei yang dilaporkan sebelum ini.
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam kenyataannya berkata, syarikat itu terus mengurus rantaian bekalannya secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di seluruh rangkaian stesen susulan krisis tenaga global semasa yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
Menurutnya, Petronas membekalkan kira-kira 50 peratus keperluan bahan api negara melalui anak syarikat tersenarainya, Petronas Dagangan Berhad.
Selebihnya, dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
Petronas turut menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan bahan api yang stabil dan boleh dipercayai kepada semua rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Petronas menyarankan orang ramai membeli bahan api secara berhemah mengikut keperluan harian dan mengelakkan sebarang aktiviti penimbunan atau pembelian panik.
Jelasnya, penggunaan secara bertanggungjawab akan membantu memastikan akses bahan api berterusan untuk semua. – MalaysiaGazette


