Konflik Asia Barat: Perak pertimbang laksana penjajaran belanjawan

IPOH – Kerajaan Negeri Perak berkemungkinan melaksanakan penjajaran berbanding belanjawan tambahan sekiranya konflik Asia Barat semakin meruncing, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut beliau, fokus utama kerajaan negeri adalah memastikan kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum termasuk dari sudut pemantauan ekonomi, penyelarasan maklumat bersama agensi berkaitan serta kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan.

“Yang Berhormat Kepayang bertanya sama ada kerajaan negeri akan mengadakan sidang khas bagi ‘supplementary budget’ (belanjawan tambahan) pada bulan Jun. Saya telah bangkitkan perkara yang sama dalam syarat exco pada minggu lepas.

“Buat peringkat ini kita sedang meneliti semua keperluan-keperluan itu supaya nanti bila kita buat keputusan ia dapat menyelesaikan banyak masalah serentak.

“Jadi kerana itu Yang Berhormat pengalaman kita Covid-19 kita tidak buat belanjawan tambahan, kita hanya buat penjajaran semula dengan bajet yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Kepayang) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.

Saarani berkata, sebagai contoh sekiranya terdapat mana-mana projek yang tidak dapat dilaksanakan ekoran peningkatan kos binaan barangkali ia akan dijajarkan dalam bentuk bantuan bagi perbelanjaan lain.

“Tetapi jika keadaan menjadi kritikal dan memerlukan kerajaan negeri berbelanja lebih, kita akan teliti dan jika perlu kita akan memanggil sidang khas untuk mengadakan belanjawan tambahan.

“Sebab itu saya katakan tadi, kita ini ‘lain padang lain belalang’, lain negeri lain cara dia,” katanya.

Saarani berkata, Kerajaan Negeri akan mencuba sedaya upaya untuk memastikan rakyat di negeri ini berada di dalam keadaan selesa melalui beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan meskipun berhadapan konflik Asia Barat.

“Saya sudah bincang dengan Datuk Pegawai Kewangan Negeri barangkali kita boleh menanggani masalah kos sara hidup dan lain-lain,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI