Kes denggi meningkat 56.2%, KKM perkukuh tindakan kawalan

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan sebanyak 58,079 kes demam denggi sehingga Minggu Epidemiologi ke-32 (ME32) tahun ini, meningkat 56.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu turut menyaksikan 55 kematian akibat komplikasi demam denggi, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

“Malaysia kini berhadapan dengan peningkatan kes demam denggi. Susulan itu, KKM telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan secara intensif dan berfokus.

”Ini termasuk pengesanan awal kes, kawalan vektor, pengurusan wabak serta mobilisasi anggota bagi memperkukuh kapasiti respons di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KKM, peningkatan kes pada peringkat awal banyak tertumpu di Lembah Klang, khususnya Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tindakan yang dipergiatkan itu mula menunjukkan perkembangan positif di Lembah Klang, namun risiko penularan denggi masih tinggi dan situasi di peringkat nasional kekal membimbangkan.

Katanya, peningkatan kes kini turut dikesan di beberapa negeri lain dengan Johor merekodkan 8,639 kes sehingga 15 Ogos berbanding 4,140 kes dalam tempoh sama tahun lalu, meningkat 109 peratus.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula mencatat 10,316 kes berbanding 5,013 kes tahun lalu, meningkat 106 peratus, manakala Selangor merekodkan 25,090 kes, naik 61 peratus daripada 15,610 kes.

KKM berkata, peningkatan kes dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk keadaan cuaca tidak menentu apabila taburan hujan yang diselang-seli cuaca panas mewujudkan persekitaran kondusif untuk pembiakan nyamuk Aedes.

“Kewujudan banyak bekas menakung air yang tidak diselenggara di kawasan kediaman dan persekitaran juga menyumbang kepada peningkatan risiko pembiakan nyamuk Aedes dan penularan demam denggi,” ujarnya lagi.

KKM menegaskan pencegahan dan kawalan denggi memerlukan pendekatan seluruh masyarakat kerana lebih 70 peratus tempat pembiakan Aedes masih ditemui di kawasan kediaman.

Sehubungan itu, kementerian menyeru orang ramai memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes di dalam serta sekitar kediaman.

Orang ramai turut dinasihatkan mengambil langkah perlindungan daripada gigitan nyamuk dan mendapatkan pemeriksaan serta rawatan segera sekiranya mengalami demam atau tanda-tanda amaran demam denggi.

KKM berkata, pihaknya akan terus memantau situasi secara rapi dan menyesuaikan intervensi berdasarkan perkembangan epidemiologi semasa bagi memastikan usaha pencegahan dan kawalan denggi dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI