Kes ugut Menteri Pendidikan, kertas pertuduhan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara

IPOH – Polis telah melengkapkan kertas siasatan kes lelaki disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan berkenaan telah diserahkan pihak polis kepada Jabatan Peguam Negara.

Menurut Ayob Khan, suspek berusia 28 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita sudah pun tangkap dan kertas siasatan sudah dihantar ke pihak Jabatan Peguam Negara bagi cadangan tuduh di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita juga dapat arahan lanjut untuk mendapatkan laporan forensik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun 69 Komando kali ke-54 dan penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2023 di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta di sini pada Rabu.

Terdahulu media melaporkan pemilik akaun di aplikasi X itu ditahan di Setapak, Kuala Lumpur, minggu lalu selepas disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Sementara itu, Ayob Khan turut menasihati pengguna media sosial agar lebih lebih bertanggungjawab dalam memuat naik sebarang hantaran di akaun media sosial masing-masing.

“Mereka beranggapan bahawa tiada tindakan diambil dan polis tidak pantau. Jadi mereka akan dikesan, ditangkap dan akan dituduh.

“Ada benda boleh dikongsi secara terbuka tetapi perkara yang tidak berfaedah seperti ini kita boleh tangkap dan tuduh, jadi gunalah sosial media untuk kebaikan,” katanya. – MG Perak.

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Kes Ugut Menteri Pendidikan, Kertas Pertuduhan Diserahkan Kepada Jabatan Peguam Negara

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI