Skandal 1MDB: Polis sedang mengesan aset Roger Ng di luar negara

IPOH – Polis sedang mengesan aset lain milik bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang ditahan berhubung skandal penyelewengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Roger Ng yang ditahan pihak polis pada 9 Oktober lalu turut memberi kerjasama yang baik ketika disoal siasat.

Menurut beliau, siasatan yang dijalankan oleh pihak polis ke atas Roger Ng merupakan siasatan yang berterusan dan sehingga kini polis masih menyoal siasat bekas pegawai bank itu.

“Siasatan masih lagi diteruskan oleh pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA).

“Setakat ini Roger Ng memberi kerjasama baik dan kita masih mengesan aset lain yang mungkin ada di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun 69 Komando kali ke-54 dan penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2023 di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta di sini pada Rabu.

Oktober lalu media melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat tangkapan terhadap Roger Ng berkait dengan siasatan skandal 1MDB.

Razarudin berkata, Roger Ng, 51, ditahan pada 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).

Roger Ng dihantar balik ke Malaysia bagi tujuan pihak berkuasa di Malaysia meneruskan siasatan mengenai 1MDB atau Goldman Sachs.

Sebelum itu, Ketua Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Margo Brodie di Brooklyn, telah mengarahkan Roger Ng menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS supaya dia boleh diserahkan kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia.

Roger Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana kekayaan 1MDB akan diserahkan kepada Malaysia. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kes ugut Menteri Pendidikan, kertas pertuduhan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI