KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan tidak mengenakan sebarang sekatan ke atas peruntukan Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) berhubung jalan luar bandar malah peruntukan tersebut telah disalurkan sepenuhnya.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit disebabkan peruntukan tahun semasa telahpun dibelanjakan hampir sepenuhnya.
“KKDW telah membuat komitmen serta membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi 2022, KKDW menerima peruntukan RM1.1 bilion dan membelanjakan jumlah yang sama.
Bagaimanapun, perbelanjaan meningkat kepada RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion pada 2023, manakala pada 2024, RM2 bilion dibelanjakan berbanding RM1.3 bilion yang diluluskan.
Pada 2025 pula, KKDW membelanjakan RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
Bagi 2026, peruntukan yang diluluskan ialah RM2.1 bilion dengan perbelanjaan berjumlah RM1.9 bilion setakat Jun lalu.
Johan berkata, setakat ini, bagi tahun 2026, MOF telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
Tambah beliau, MOF bekerjasama dengan KKDW bagi menangani isu berkenaan, antaranya dengan menyusun semula peruntukan KKDW berdasarkan keutamaan.
Pada masa yang sama, MOF juga dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk membantu menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW.
Katanya, setiap kementerian perlu bertanggungjawab merancang dan mengurus perbelanjaan berdasarkan peruntukan Belanjawan tahunan yang diluluskan Parlimen. – MalaysiaGazette


