Lelaki dipercayai kurang siuman cuba langgar, bunuh pegawai polis

MANJUNG – Seorang lelaki disyaki kurang siuman ditahan selepas cuba melanggar anggota polis dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, sebelum itu seorang pegawai kanan polis sedang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sekitar jam 5.30 petang.

Menurutnya pegawai polis berkenaan kemudian melihat seorang lelaki berusia 32 tahun yang memandu kenderaan jenis Motohilux telah melanggar sebuah motosikal sehingga terperosok ke bawah kenderaan itu.

Katanya, suspek telah menyeret motosikal tersebut hingga pada jarak kira-kira 50 hingga 100 meter sebelum motosikal itu meletup dan terbakar.

“Bimbang melihat suspek bertindak agresif terhadap orang awam di tempat kejadian, pegawai polis dengan bantuan anggota bertugas telah cuba menahan kenderaan tersebut.

“Namun suspek bertindak cuba melanggar pasukan polis itu dan menyebabkan mereka terpaksa mengelak ke tepi jalan.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan memandu secara berbahaya, dan pegawai polis telah mengekori suspek dengan menaiki motosikal “ katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Mohamed Nordin, ketika tiba di kawasan persimpangan lampu isyarat berdekatan dengan sebuah pasar raya, pegawai polis itu telah mengarahkan pemandu Motohilux tersebut berhenti.

Ujarnya, namun lelaki itu terus bertindak agresif dengan cuba menghimpit pegawai serta anggota polis yang cuba menahannya sehingga menyebabkan mereka terjatuh dan mengalami kecederaan luka pada seluruh anggota badan.

“Bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung telah berjaya menangkap suspek di jalan belakang Stesen Bas Manjung dan turut merampas kenderaan Motohilux milik suspek pada jam 7.30 malam, hari sama.

“Sehubungan dengan itu, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang boleh dikenakan hukuman dan penjara 10 sehingga 20 tahun,” katanya lagi.

Justeru beliau meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan selain meminta mereka menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Fariq Nazmi Mohd Mustafa di talian 013-3317099 bagi membantu siasatan. -MG Perak.

 

Artikel Berkaitan:

Polis tumpaskan Geng Boy, tahan tiga lelaki

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI