Lelaki fitnah anggota polis terkorban insiden Ulu Tiram disambung reman

IPOH – Tempoh reman terhadap suspek lelaki yang memuat naik komen berunsur fitnah di laman sosial terhadap anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor disambung sehingga esok.

Prosiding reman itu dilakukan di Mahkamah Majistret Tapah dekat sini pagi ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, proses sambung reman ke atas suspek dibuat apabila tempoh reman selama empat hari tamat pada hari ini.

Menurutnya, siasatan terhadap pekerja kilang berusia 25 tahun masih diteruskan kerana terdapat beberapa dokumen yang melibatkan beberapa agensi dan jabatan yang masih belum diterima bagi melengkapkan siasatan.

“Kita menjangkakan bahawa siasatan akan berjalan lagi dan permohonan reman akan diteruskan kerana ada beberapa dokumen yang akan melibatkan beberapa agensi dan jabatan yang lain masih belum kita terima.

“Setelah kita terima (dokumen), kita akan rujuk semula kepada pihak pendakwa raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bulan September 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini pada Isnin.

Beliau turut memberi peringatan kepada netizen supaya berhati-hati apabila membuat komen dan melihat tentang sensitiviti dan menghentikan sebarang tuduhan liar yang tidak berasas.

Terdahulu media melaporkan, suspek terbabit ditahan sekitar jam 8 malam di sebuah rumah di Masai, Johor pada 5 September susulan satu laporan polis yang diterima daripada waris Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pada 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah membuat tangkapan terhadap suspek serta merampas sebuah telefon bimbit.

Katanya, suspek telah direman selama empat hari bermula Jumaat hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, dua anggota polis maut, manakala seorang lagi parah selepas ditembak dan ditetak lelaki bertopeng yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lelaki fitnah anggota polis terkorban insiden Ulu Tiram Ditahan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI