Polis siasat dakwaan Rosmah terlibat hartanah mewah AS$13 juta

KUALA LUMPUR – Polis telah menerima tiga laporan berhubung dakwaan Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam pembelian atau pembiayaan hartanah mewah di New Jersey, Amerika Syarikat bernilai AS$13 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi berkaitan serta menjalankan siasatan ke atas video yang tular itu.

“Kita telah menerima tiga laporan dan akan memgambil tindakan memanggil saksi- saksi berkaitan, selain menyiasat sama ada akaun tular di media sosial itu palsu atau tidak.

“Setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberikan kerjasama yang baik dan kita belum menerima apa-apa perkembangan lagi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Perang Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC dan pasukan yang berada di luar negara bagi menjalankan siasatan perkara berkenaan.

“Saya berharap isu seperti ini melibatkan nama- nama tertentu jangan dispekulusikan kerana kita memerlukan bukti-bukti yang kukuh untuk dikemukakan ke mahkamah,” jelasnya.

Katanya lagi, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Terdahulu media melaporkan, Datin Seri Rosmah Mansor membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan beliau terbabit dalam pembelian atau pembiayaan hartanah mewah di New Jersey, Amerika Syarikat bernilai AS$13 juta.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menegaskan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan penggunaan syarikat sementara, struktur kewangan luar pesisir atau hubungan dengan individu serta entiti yang dinamakan dalam video yang tular adalah rekaan berniat jahat dan tidak berasas.

Dalam kenyataanya, Rosmah mendakwa, penyebaran kandungan yang mengelirukan dan tidak bertanggungjawab itu jelas bertujuan untuk menipu orang ramai serta menjejaskan keyakinan terhadap proses undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI