IPOH – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai jatuh dari tingkat 13 sebuah bangunan hotel, di Jalan Sultan Idris Shah, di sini, pagi tadi.
Difahamkan, lelaki berusia 40 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat 13 dan mayat mangsa tersangkut di tingkat enam bangunan tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.29 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menurunkan mangsa.
“Ketika tiba di lokasi kita mendapati mangsa dipercayai telah jatuh dari bangunan tingkat 13 tersangkut di tingkat enam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat mangsa dibawa turun ke bawah sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. – MG Perak