LARUT – Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental yang dilaporkan hilang di Kampung Simpang Empat, Anak Kurau di Batu Kurau, di sini sejak Sabtu lepas ditemukan meninggal dunia.
Mangsa, Zakaria Shamsuddin, 42, ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun berhampiran kawasan sebuah chalet di kampung berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat pada jam 12.19 tengah hari.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis bagi bantuan operasi mengambil mayat di lokasi tersebut.
“Pasukan bomba yang kemudiannya tiba di lokasi mendapati terdapat mayat di kawasan kebun berjarak 500 meter lokasi dari lokasi jentera.
“Dan pihak polis mengesahkan mayat adalah mangsa yang dilaporkan hilang (sebagaimana laporan diterima) pada 31 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Beliau berkata, pasukan bomba mengangkat mangsa dengan menggunakan beg mayat dan pengusung sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Norhesam Abdullah bersama lima anggota dari BBP Batu Kurau itu tamat pada jam 2 petang.
Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki OKU mental dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Batu Kurau, Sabtu lepas.
Mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat ketika keluar melalui pintu belakang rumah bersama-sama anak tirinya sekitar jam 4 petang.
Ketua Polis Daerah Selama, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata mangsa dipercayai menuju ke kawasan belukar, kira-kira 300 meter dari kediamannya itu.
Beliau berkata, Zakaria kemudiannya didapati hilang dari pandangan dalam sekelip mata ketika anak tirinya itu berhenti seketika untuk mengikat tali kasut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


