Loken Kampar syurga kecil peminat barang antik, terpakai

KAMPAR – Barangan antik dan terpakai sememangnya mempunyai nilai tersendiri khusus buat sesiapa yang sentiasa mencarinya bak peribahasa, Jauhari juga yang mengenal manikam.

Di kala dewasa ini dunia semakin mengejar ke arah kemodenan kecerdasan buatan (AI), namun masih ada lagi dalam kalangan masyarakat yang melihat barangan berkenaan ibarat permata yang tidak ternilai.

Walaupun frasa Pasar Karat atau ‘Loken’ amat sinonim dengan Bandar Raya Ipoh, namun mungkin ada yang tidak mengetahui wujudnya pasar karat yang berada di tengah-tengah Pekan Kampar.

Antara koleksi barangan lama dan terpakai yang dijual di Loken Kampar. Foto ABDULLAH YUSOF, 8 NOVEMBER 2023.

Bermula di Jalan Balai sejak puluhan tahun, Loken Kampar yang terdiri daripada 21 peniaga telah dipindahkan kira-kira 1 kilometer (km) ke lokasi baharu di Stesen Bas Ekspress Lama sejak 1 November lalu.

Wakil Peniaga Loken Kampar, Muhammad Mahyudin Ismail, 44, berkata, penempatan semula Loken Kampar ke lokasi baharu itu dilihat sebagai usaha baik yang direalisasikan Majlis Daerah Kampar.

“Lokasi baharu ini amat selesa bagi kami, jika hendak dibandingkan dengan dua lokasi lama sebelum ini. Ia kerana, lokasi lama terletak di bahu jalan raya yang mana amat membahayakan keselamatan peniaga.

“Selepas kami dipindahkan, ia amat melegakan kami kerana ia berbumbung, mempunyai kemudahan parkir, berhampiran dengan medan selera dan juga ada kemudahan tandas,” katanya ketika ditemui MG Perak, di sini.

loken kampar
Peniaga Loken Kampar, Muhammad Mahyudin Ismail. Foto ABDULLAH YUSOF, 8 NOVEMBER 2023.

Dia yang tinggal di Temoh, Tapah, berkata rata-rata peniaga yang berusia antara 40an sehingga 70an di situ menjual pelbagai barangan terpakai dan antik seperti barang kelengkapan rumah, perhiasan, kaset, piring hitam dan sebagainya.

Menurutnya, Loken Kampar sering menerima kunjungan pelanggan yang rata-rata dari kawasan sekitar Kampar, serta Tapah, Batu Gajah dan Gopeng.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Anwar Mohammad, 66, berkata sejak dipindahkan ke lokasi baharu, sambutan pelanggan yang berkunjung ke Loken Kampar semakin meriah terutama pada hujung minggu.

“Jika hendak dibandingkan dengan lokasi lama, lebih ramai pelanggan yang berkunjung ke lokasi baharu ini. Malah dalam sehari saya boleh cecah keuntungan ratusan ringgit,” katanya lagi.

Peniaga Loken Kampar, Tai Kon Hin. Foto ABDULLAH YUSOF, 8 NOVEMBER 2023.

Nada sama turut dikongsi peniaga, Tai Kon Hin, 71, dengan memberitahu dia kini boleh menjual barangan antik dan terpakai dalam masa tempoh yang lebih lama walaupun dalam cuaca hujan.

“Sudah 18 tahun saya berniaga, dan ketika di lokasi sebelum ini, saya tidak boleh berniaga jika cuaca hujan. Namun di sini, keadaan selesa kerana berbumbung,” katanya yang mesra disapa sebagai ‘Johari’ dalam kalangan rakan-rakan.

Antara barang yang dijual di Loken Kampar termasuk aksesori, kasut dan mainan lama. Foto ABDULLAH YUSOF, 8 NOVEMBER 2023.

Rasa puas ‘selam’ barang antik

Menurut peminat barang-barang antik dan terpakai, Adam Hanif, 34, dia sanggup membelanjakan puluhan ringgit demi mendapatkan barangan yang disifatkan ‘rare’ atau sukar untuk dijumpai itu.

Katanya ia adalah satu kepuasan baginya apabila berjaya mendapatkan barangan berkenaan seperti radio, pinggan, almari mahupun mainan.

Peminat barangan antik, Adam Hanif. Foto ABDULLAH YUSOF, 8 NOVEMBER 2023.

“Saya gemar mengumpul barang-barang antik dan terpakai ini kerana ia dapat mengamit kenangan sewaktu saya masih kecil lagi.

“Sebagai contoh mainan lama, yang mana sebelum ini saya tidak mampu untuk mendapatkannya. Namun setelah dewasa saya akan berusaha untuk mendapatkannya sebagai rasa puas untuk diri kerana berjaya juga memilikinya,” kata Adam.

Loken Kampar beroperasi bermula pada jam 7 pagi hingga 11 pagi, setiap hari. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Datuk Lat zahir penghargaan terima Watikah Gelaran Seniman Diraja

MGPerak: Loken Kampar Syurga Kecil Peminat Barang Antik, Terpakai

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI