MAPS: ‘Razman Exco penggal lepas, kenapa sekarang baru tanya’ – Saarani

IPOH – Perak tidak pernah membisu dalam soal Taman Tema Animasi Studio (MAPS) di Bandar Meru Raya sebagaimana yang didakwa Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Razman Zakaria.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan sekali lagi bahawa projek itu tidak melibatkan sebarang dana kerajaan.

Jelas beliau, ia sebaliknya dibangunkan oleh PCB Development Sdn Bhd (PCBD) iaitu anak syarikat Perak Corporation Berhad (PCB) yang sebelum ini tersenarai Bursa Malaysia sebelum digulung.

“MAPS telah dimiliki pihak likuidasi. Apabila (PCBD) digulung dan ia (MAPS) telah telah jadi kepunyaan likuidasi, dan apa yang mereka hendak buat (terhadap MAPS) itu hak mereka, dan saya tidak boleh sentuh harta orang.

“(Kerajaan negeri) tidak berdiam diri. Yang Berhormat Razman adalah salah seorang Exco Kerajaan Negeri pada penggal lepas, kenapa sekarang baru tanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Sabtu.

Saraani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Razman yang mendakwa kerajaan negeri masih mengambil sikap membisu berkaitan tindakan perobohan bangunan MAPS.

Menerusi satu laporan akhbar tempatan, Razman berkata, rakyat perlu diberi penjelasan apakah tujuan bangunan bernilai RM520 juta itu dirobohkan dan adakah benar tanah tersebut telah dijual kepada pihak persendirian.

MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta itu mula beroperasi pada Jun 2017 namun lokasi yang sepatutnya menjadi tumpuan pelancong ke negeri ini terpaksa ditutup pada 28 Januari 2020 akibat masalah kewangan.

Notis penutupan itu dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) daripada Messrs Ernst & Young.

Sebelum ini media pernah melaporkan, taman tema itu dibiayai PCBD melalui pinjaman daripada beberapa institusi kewangan dan tidak timbul isu kerajaan negeri rugi atau berhutang seperti yang didakwa.

Di samping itu, kerajaan negeri juga tidak mempunyai ’locus standi’ untuk mencampuri urusan syarikat berkenaan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

ESCAPE Ipoh diyakini tidak jadi projek gajah putih

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI